Ikram jalankan kempen kesedaran pedofilia

Ikram jalankan kempen kesedaran pedofilia

Ikram mempunyai psikiatri dan pakar lain untuk melatih sukarelawan wanita mengenai tingkah laku dan sifat pedofil dan melatih mereka memberi penerangan kepada kanak-kanak.

ikram-pedofilia
KUALA LUMPUR:
Sebuah badan bukan kerajaan mengadakan misi kesedaran mengenai penderaan seksual kanak-kanak dan mencegah golongan muda daripada menonton pornografi.

Selepas dilatih oleh pakar, golongan ibu dalam Ikram akan melawat sekolah bagi mengajar kanak-kanak mengenai bagaimana mengenali dan menjaga diri mereka daripada pedofilia, kata Ketua Pegawai Pentadbiran Ikram, Zawiah Mohd Sari.

“Mereka juga menerangkan kepada kanak-kanak tentang pengaruh buruk pornografi. Kebanyakan pelajar sekolah menengah mengakui mereka menonton pornografi di Internet.

“Kami menasihatkan mereka berhenti berbuat demikian dan memberitahu guru dan ibu bapa bagaimana mengesan apa yang dilakukan anak muda ini dalam talian,” katanya kepada Bernama.

Zawiah berkata ahli Ikram melawat 10 hingga 15 sekolah setakat ini di kawasan luar bandar di Kelantan, Terengganu dan Pahang dan berharap dapat melawat sekolah seluruh negara tetapi memerlukan ramai sukarelawan.

“Kami mempunyai ahli psikiatri dan pakar lain yang boleh memberitahu kepada sukarelawan wanita mengenai tingkah laku dan sifat pedofil serta melatih mereka bagaimana memberi penerangan kepada orang muda,” tambahnya.

Ahli Jawatankuasa Ikram, Haliza Abdul Malik yang membantu menganjurkan kempen ‘Ibu Menentang Pornografi’ berkata, pelajar sekolah diberitahu mengenai cara pedofil bertindak terhadap mereka – “bagaimana mereka bercakap, sentuh anda dan memujuk anda agar lakukan apa yang mereka mahu”.

“Dan kami memberitahu bagaimana mereka harus melindungi diri sendiri… menjerit, lari, bercakap dengan ibu bapa, guru dan pihak berkuasa,” katanya.

Haliza berkata kempen itu susulan daripada pendedahan pedofil Richard Huckle yang mengaku bersalah melakukan 71 kesalahan seksual termasuk merogol kanak-kanak berumur antara 3 hingga 12 tahun di Malaysia dari 2006 hingga 2014 dan menerima 22 hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah British.

“Kes itu mengejutkan kami dan menyedarkan kami bahaya yang dihadapi kanak-kanak,” katanya.

Haliza berkata Ikram mempromosikan nilai-nilai Islam dan mengambil berat tentang kanak-kanak yang mempunyai akses mudah terhadap pornografi.

“Kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membangunkan beberapa aplikasi bagi membolehkan ibu bapa dan guru mengesan apa yang kanak-kanak lakukan di Internet,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.