Rakyat 6 negara Islam dibenar ke AS, tetapi bersyarat

Rakyat 6 negara Islam dibenar ke AS, tetapi bersyarat

Rakyat dan pelarian dari 6 negara majoriti Islam itu 'yang tiada sebarang hubungan bona fide dengan mana-mana orang atau entiti di AS' tidak dibenarkan memasuki negara terbabit.

refugees-as
PETALING JAYA:
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan keputusan Mahkamah Agung membenarkan sebahagian sekatan kemasukan dilaksanakan ke atas rakyat dan pelarian dari 6 negara majoriti Islam, sebagai kemenangan untuk keselamatan negara.

Menurut laporan AFP, 9 hakim akan mengkaji semula dasar itu sepenuhnya pada Oktober ini.

Buat masa ini, sekatan kemasukan itu boleh dikuatkuasakan ke atas rakyat dan pelarian dari 6 negara majoriti Islam itu “yang tiada sebarang hubungan bona fide dengan mana-mana orang atau entiti di AS”.

Mahkamah itu menolak keputusan sebelum ini dengan berkata, sekatan itu tidak boleh dilaksanakan ke atas mereka yang mempunyai kaitan peribadi dengan AS, contohnya warga asing yang mahu melawat keluarga atau pelajar melanjutkan pelajaran di universiti.

Keputusan Mahkamah Agung itu adalah kemenangan buat pemimpin Republikan itu yang bertegas sekatan berkenaan perlu untuk keselamatan negara, sekalipun dikritik dasar anti umat Islam itu melanggar Perlembagaan AS.

“Ia membolehkan sebahagian besar pembekuan perjalanan untuk 6 negara cenderung pengganas dan penggantungan pelarian berkuat kuasa.

“Sebagai presiden, saya tidak boleh membenarkan orang yang mahu membahayakan kita memasuki negara kita,” kata Trump.

Sebelum ini, pemimpin AS itu berdepan satu siri kekalahan berhubung sekatan terbabit, dengan 2 Mahkamah Rayuan Persekutuan mengekalkan injunksi ke atas dasar baru berkenaan, dengan alasan arahan itu mendiskriminasi pelawat berdasarkan kewarganegaraan mereka.

Jabatan Negara berkata, ia akan mula melaksanakan sekatan itu “dengan cara profesional, teratur dan tepat pada masanya” dalam tempoh 72 jam, sejajar memorandum yang ditandatangani Trump awal bulan ini.

Ia juga akan memastikan pelancong, pengusaha industri pelancongan dan Program Penerimaan Pelarian AS “dimaklumkan mengenai perubahan itu ketika ia dikuatkuasakan”.

Dasar yang disemak semula itu dan diumumkan pada Mac lalu bertujuan melarang kemasukan rakyat Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari, selain menggantung kemasukan pelarian selama 120 hari.

Sekatan asal termasuk Iraq dan pelarian Syria selama-lamanya.

Pengarah Undang-undang Kebangsaan American Civil Liberties Union (ACLU), David Cole berkata, kesan arahan itu adalah terhad dan masalah sebenar hanya akan timbul pada Oktober nanti.

Katanya, hakim “pada asasnya mengambil jalan tengah” antara permintaan kerajaan untuk menyokong dasar Trump dan rayuan ACLU untuk menghalang sekatan itu dilaksanakan.

Gabungan Imigresen New York, satu lagi penentang dasar itu berkata, keputusan berkenaan menambahkan lagi kekeliruan dengan penggunaan istilah “hubungan bona fide” yang mana “agensi dan individu akan bergelut untuk memahaminya”.

Peguam Negara, Jeff Sessions yakin kerajaan akan menang apabila barisan hakim tertinggi AS mengkaji kes itu sepenuhnya.

“Kumpulan seperti IS dan Al-Qaeda berusaha menimbulkan kekacauan dan kemusnahan di negara kita, dan sering beroperasi dari negara-negara gagal dan berperang.

“Adalah penting kita memeriksa betul-betul mereka yang ingin datang ke Amerika dari lokasi-lokasi ini, dan kegagalan berbuat demikian akan meletakkan kita semua dalam bahaya.”

Negara yang disasarkan itu berada dalam senarai disediakan kerajaan Barack Obama, di mana pihak berkuasanya tidak mempunyai banyak data mengenai warganegaranya sendiri, sehingga menyukarkan kelulusan permohonan visa.

Walaupun tanpa sekatan kemasukan itu, ketibaan rakyat dari 6 negara majoriti Islam itu berkurangan secara ketara, sebahagian faktor disebabkan “pemeriksaan melampau” pihak berkuasa AS.

Ketibaan rakyat dari Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman berkurangan hampir separuh pada Mac dan April berbanding setahun lalu, menurut data rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.