Krisis beg udara: Takata fail perlindungan muflis

Krisis beg udara: Takata fail perlindungan muflis

Syarikat itu berdepan tindakan undang-undang dan kos besar kerana kecacatan yang dipersalahkan untuk sekurang-kurangnya 16 kematian dan banyak kecederaan.

takata
TOKYO:
Pembuat alat ganti kereta Jepun, Takata, hari ini memfailkan perlindungan muflis dan berkata ketua eksekutifnya akan meletak jawatan berikutan krisis beg udara yang mencetuskan panggilan balik terbesar dalam industri automotif.

Syarikat itu berdepan tindakan undang-undang dan kos besar kerana kecacatan yang dipersalahkan untuk sekurang-kurangnya 16 kematian dan banyak kecederaan. Skandal itu memberi kesan hampir setiap pembuat kereta utama dunia, termasuk Toyota dan General Motors.

Pembuat alat ganti kereta Amerika Syarikat, Key Safety Systems (KSS) akan membeli Takata dengan anggaran AS$1.58 bilion.

Ketua eksekutif Takata Shigehisa Takada, yang mana datuknya memulakan syarikat itu pada 1933 sebagai pembuat tekstil, berkata beliau akan meletak jawatan selepas pengambilalihan selesai.

“Saya memohon maaf secara ikhlas kerana menimbulkan masalah bagi semua pihak,” kata Takada dalam taklimat media.

Laporan berita mengatakan liabiliti Takata akan melebihi 1 trilion yen (AS$9 bilion) yang merupakan pemfailan muflis terbesar bagi sebuah pengilang Jepun.

Dagangan saham Takata digantung hari ini selepas seminggu turun naik ketara. Saham akan dikeluarkan dari bursa Tokyo lewat bulan depan.

Asas kekuatan

Kurang terkenal di luar Jepun, Takata berkembang dari sebuah kilang kecil kepada syarikat gergasi automotif sekitar 80-an.

Ia mempunyai puluhan kilang dan pejabat di 20 negara, termasuk AS, China dan Mexico. Bahagian beg udara menyumbang lebih 1/3 daripada jumlah pendapatan tahunan kepada sekitar 663 bilion yen, yang mana tali pinggang keledar dan stereng antara produk utama.

Jason Luo, presiden dan ketua eksekutif KSS, yang dimiliki syarikat China, Ningbo Joyson Electronic, yakin Takata akan pulih.

“Walaupun Takata terkesan dengan panggilan balik beg udara serata dunia, ia tidak mengurangkan asas kekuatannya iaitu pekerja mahir, jangkauan geografi, dan produk luar biasa seperti stereng, tali pinggang keledar dan produk keselamatan lain,” katanya dalam kenyataan.

Tiada rancangan segera untuk mengurangkan pekerja yang seramai 46,000 orang atau bilangan kilang milik Takata sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, tambahnya.

Bagaimanapun, operasi yang dikaitkan dengan beg udara rosak tidak akan menjadi sebahagian daripada gabungan syarikat itu, yang kemudian akan ditutup.

Denda bilion dolar

Saham Takata melonjak lebih 40% pada Jumaat selepas jatuh minggu lalu kerana para pedagang membida ke atas kemungkinan muflis.

Penganalisis menyifatkan kenaikan pada Jumaat kepada dagangan spekulatif dalam kalangan pelabur jangka pendek yang berharap dapat meraih keuntungan daripada perubahan ketara dalam harga saham.

Kira-kira 100 juta beg udara yang dihasilkan untuk beberapa pembuat kereta terbesar dipanggil balik, termasuk kira-kira 70 juta beg udara di AS.

Masalahnya dikaitkan dengan sejenis kimia, amonium nitrat, yang digunakan sebagai bahan dorong dalam kantung inflator beg udara Takata.

Komponen ini boleh degradasi, terutamanya dalam keadaan yang lembab, menyebabkan beg udara berisiko berkembang dan pecah secara tidak betul, melancarkan serpihan logam pada penumpang kenderaan.

Takata – yang dituduh menyembunyikan masalah ini selama bertahun-tahun bersama dengan pelanggan utamanya dalam kalangan pembuat auto – bersetuju pada tahun ini untuk untuk membayar denda berbilion dolar untuk menyelesaikan masalah ini dengan pengawal selia keselamatan AS.

Honda, pelanggan utama Takata, pertama kali bersuara mengenai perkara itu pada 2008. Namun krisis memuncak pada 2014 selepas kematian sebelum ini semakin mendapat perhatian media dan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan Amerika Syarikat mula terlibat berikutan panggilan balik yang semakin meningkat.

Cara Takata mengendalikan krisis perhubungan awam dikritik hebat, tetapi ada pihak mengatakan pelanggannya dalam kalangan pembuat auto berlengah-lengah menguruskan skandal yang membesar.

“Respon sepatutnya lebih cepat” daripada pembuat kereta, kata Nobutaka Kazama, seorang profesor perniagaan di Universiti Meiji di Tokyo.

“Pembuat kereta yang menjual produk dan mereka perlu respon (kepada masalah) secepat mungkin,” katanya.

Toyota berkata Takata berhutang kos kira-kira 570 bilion yen yang berkaitan dengan panggilan balik, tetapi syarikat auto gergasi itu dan pesaingnya Nissan dan Honda hari ini mengakui mereka hanya ada sedikit peluang untuk mendapatkan wang itu melalui mahkamah kemuflisan.

“Walaupun kami memperoleh hak untuk dibayar balik untuk kos penarikan pada masa lalu dan akan datang dari Takata dan sekutunya, namun berikutan pemfailan Takata, kami mungkin tidak dapat melaksanakan hak ini dalam kebanyakan kes,” kata Nissan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.