Nancy yakin SPAD akan amal tadbir urus tahap tinggi

Nancy yakin SPAD akan amal tadbir urus tahap tinggi

Sebagai sebuah suruhanjaya, kerajaan memastikan terdapat sistem semak dan imbang dalam pelaksanaan semua aktiviti dan operasi SPAD.

nancy-spad
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri yakin Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan sentiasa mengamalkan tahap tadbir urus tertinggi melalui komitmen Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Azharuddin Mat Sah dan pasukan pengurusan SPAD.

Nancy yang merupakan menteri bertanggungjawab mengendalikan urusan SPAD berkata, Pemangku Pengerusi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam kapasiti pengerusi bukan eksekutif, memainkan peranan mempengerusikan mesyuarat anggota suruhanjaya bagi memastikan hala tuju strategik seperti mana yang terkandung dalam Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

“Segala aspek pentadbiran dan pengurusan suruhanjaya, termasuk operasi, perancangan, pelesenan serta penguatkuasaan adalah di bawah pentadbiran ketua pegawai eksekutif dan barisan pengurusan SPAD.

“Saya percaya momentum dan semangat bekerja sebagai satu pasukan dalam budaya kerja SPAD akan terus diperhebatkan lagi bagi memastikan transformasi pengangkutan awam darat dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa portal berita melaporkan pelantikan Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD yang diumumkan pada 19 Jun lepas mendapat kritikan susulan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) semasa Isa menyandang jawatan pengerusi FGV.

Nancy berkata SPAD merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jelas menggariskan bidang kuasanya.

Menurutnya sebagai sebuah suruhanjaya, kerajaan memastikan terdapat sistem semak dan imbang dalam pelaksanaan semua aktiviti dan operasi SPAD.

Tambah Nancy sejajar dengan peranan SPAD sebagai sebuah badan perancang yang profesional dan proaktif serta pengawal selia industri, SPAD mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan terperinci.

Beliau berkata kerajaan juga sudah menetapkan garis panduan serta mekanisme kawalan bagi pelaksanaan projek infrastruktur untuk membangunkan pengangkutan awam darat dengan telus, amanah dan berintegriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.