Maghrib di Pulau Pinang: Buka puasa, buka sempadan

Maghrib di Pulau Pinang: Buka puasa, buka sempadan

Rombongan pemimpin mewakili pelbagai agama berjalan mengunjungi beberapa rumah ibadat di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Kling dengan mesej keamanan.

Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan menyambut kehadiran Rev Charles Samuel dari Gereja St George The Martyr.
Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan menyambut kehadiran Rev Charles Samuel dari Gereja St George The Martyr.
GEORGE TOWN:
Sekumpulan 50 pemimpin dan aktivis mewakili pelbagai agama semalam membuat kunjungan mesra ke beberapa rumah ibadat sebelum berbuka puasa di Masjid Lebuh Acheh di sini, dalam usaha untuk mengeratkan perpaduan merentas budaya dan agama.

Mereka dibawa aktivis sosial Pulau Pinang, Datuk Anwar Fazal dan Pengerusi Jawatan Kuasa Masjid Lebuh Acheh, Datuk Mujahid Yusof Rawa, ke masjid, gereja, kuil dan tokong di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling, yang kerap kali diberi jolokan “Jalan Harmoni” kerana pelbagai rumah ibadat wujud sebagai jiran.

Antara mereka ialah Biskop Roman Katolik Pulau Pinang, Rev Sebastian Francis serta paderi Rev Gerard Theraviam dan Rev Charles Samuel yang memakai pakaian keagamaan mereka.

Pemimpin Sikh, Sukhindarpal Singh berucap di Masjid Lebuh Acheh.
Pemimpin Sikh, Sukhindarpal Singh berucap di Masjid Lebuh Acheh.

Mereka turut disertai wakil masyarakat Hokkien, Cheah Swee Huat dan wakil penganut Sikh, Sukhindarpal Singh, di samping Naib Presiden Persatuan Peranakan Cina Pulau Pinang, Lillian Tong. Seramai 12 penuntut dari Universiti Deakin di Australia yang kini bertugas dengan sebuah syarikat di negeri itu turut sama.

Untuk kira-kira 90 minit, mereka berjalan sejauh 1 km bersalaman dengan masyarakat setempat.

Rombongan bermula di Gereja St George The Martyr, sebelum ke Tokong Kuan Yin Teng, Kuil Sri Mahamariamman sebelum ke Masjid Kapitan Keling dan Masjid Lebuh Acheh.

Mereka turut singgah di Kuil Hock Teik Cheng Sin dan mengunjungi beberapa penempatan penduduk berdekatan.

Peguam syarie Muneer Mohamed Farid memberikan taklimat termasuk cara-cara solat dikerjakan kepada tetamu pelbagai agama.
Peguam syarie Muneer Mohamed Farid memberikan taklimat termasuk cara-cara solat dikerjakan kepada tetamu pelbagai agama.

Di Masjid Lebuh Acheh, rombongan mendengar taklimat daripada peguam syarie Muneer Mohamed Farid mengenai beberapa aspek agama Islam, yang turut mengajar mereka cara-cara umat Islam mendirikan solat.

Mujahid dalam ucapannya menumpukan perhatian kepada istilah “salam” yang menjadi teras kepada Islam.

“Tiada ucapan lebih indah daripada ‘Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’, iaitu kedamaian untuk mu dan semoga Allah merahmati mu,” katanya.

Pemimpin dan aktivis pelbagai agama berganding tangan di Masjid Lebuh Acheh petang tadi.
Pemimpin dan aktivis pelbagai agama berganding tangan di Masjid Lebuh Acheh petang semalam.

Sementara Biskop Francis berkata mereka disatukan dengan semangat ketaatan kepada Tuhan.

“Kita berkongsi petang ini dengan masyarakat Pulau Pinang dan dunia, semangat dan ketaatan kepada Tuhan,” katanya.

Pemimpin pelbagai agama menyertai majlis buka puasa di masjid.
Rombongan pelbagai agama berakhir dengan majlis buka puasa di masjid.

https://www.youtube.com/watch?v=MefREwyeTRE

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.