
S Kesavan memulakan protes 48 jam itu sebagai membantah kegagalan SPR menjawab beberapa isu termasuk pemindahan dan pendaftaran pengundi yang bukan bermastautin di kawasan DUN Hutan Melintang.
Ia bukan protes pertama oleh Kesavan. Pada 9 Jun, beliau membawa tilam dan bantal memulakan mogok lapar untuk mendesak Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menerima surat bantahannya.

Protes dimulakan sekali lagi semalam pada 11.00 pagi.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata beberapa penyokong Kesavan memanggil ambulans malam tadi selepas mendapati tahap kesihatan semakin merosot.
Beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya pada jam 9.00 malam.
“Keadaan beliau pada waktu ini difahamkan stabil dan semakin pulih,” kata Fahmi, sambil menggesa SPR untuk memberikan jawapan penuh kepada pertanyaan dan bantahan Kesavan.
Antara aduan Kesavan ialah SPR enggan menerima 200 keping Borang Bantahan C berkait pemindahan masuk dan pendaftaran baru lebih 2,000 pengundi yang dipercayai bukan penduduk Hutan Melintang.