
Menurut Aziz, parti itu yang diketuai bekas menteri persekutuan Datuk Seri Shafie Apdal dan kini agresif dalam usahanya mengambil ahli-ahli baharu, tidak akan menyertai mana-mana gabungan pembangkang di negeri itu.
“Kami telah mengedarkan 500,000 borang permohonan keahlian dan pada pertengahan bulan Mei, keahlian kami hampir 100,000. Jadi, terdapat kira-kira 400,000 borang yang akan dikembalikan,” kata Aziz kepada FMT.
“Kita tahu yang ramai telah mengisi borang tetapi mereka belum menyerahkan kerana mereka mahu berbuat demikian apabila presiden parti Shafie datang ke tempat mereka.”
Kata beliau, pihaknya telah mengaturkan lawatan Shafie ke Tuaran, Sepanggar, Sipitang dan banyak lagi daerah dalam masa terdekat.
“Kami percaya kami akan meningkatkan jumlah keahlian kami,” kata beliau sambil menambah, parti “kami adalah parti baharu yang paling banyak mendapat sokongan di Sabah dan kami yakin rakyat Sabah akan memberikan kami mandat dalam pilihan raya akan datang.”
“Kami ingin menegaskan, kami tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang kerana kami percaya mereka mesra BN.
“Mereka mengatakan mereka menentang BN apabila mereka berada di luar untuk berkempen tetapi itu hanya kata-kata mereka – tindakan mereka memberi isyarat bertentangan kepada kami.”
Shafie dipecat sebagai menteri Kabinet hampir 2 tahun lalu dan keluar Umno Julai 2016 sebelum mengumumkan beliau akan menerajui parti baharu di Sabah.
Sebelum ini, Shafie yang enggan menyertai PPBM, diketuai oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau lebih suka platform yang bercirikan Sabah.
Gabungan Sabah Bersatu yang dianggotai 4 parti pembangkang baru-baru ini berkata pihaknya tidak bimbang dengan pengambilan ahli-ahli baharu oleh Warisan tetapi berlapang dada untuk menerima parti itu menyertainya demi memperkukuh barisan pembangkang, sekali gus menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Aziz juga bersetuju laporan rasmi penuh nahas kapal terbang yang mengorbankan 11 orang termasuk Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Muhammad Fuad Stephens pada 1976 perlu didedahkan kepada umum.
Stephens, bersama-sama dengan menteri kewangan Salleh Sulong, menteri kerajaan tempatan dan perumahan, Peter Mojuntin, menteri kerja dan komunikasi Chong Thien Vun serta beberapa pegawai tinggi kerajaan menaiki pesawat itu dari Labuan untuk kembali ke Kota Kinabalu.
Pesawat itu terhempas di perairan Sembulan.
Susulan siasatan, kemalangan itu yang turut dikenali sebagai “Double Six” kerana ia berlaku pada 6 Jun, diumumkan sebagai nahas disebabkan “kesilapan manusia” tetapi penemuan penuh diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Terdapat perasaan yang berbeza di kalangan keluarga mangsa mengenai punca nahas.
Semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri pada April lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi respons kepada satu persoalan pembangkang dengan mengatakan bahawa laporan itu masih diklasifikasikan sebagai rahsia manakala “Jabatan Penerbangan Awam Sabah tidak mempunyai maklumat baharu mengenai kemalangan itu.”
Minggu ini, Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang berjanji laporan itu akan diklasifikasikan semula jika gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, menang pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan di Sabah dan di peringkat persekutuan.
“Saya bersetuju penemuan penuh (kes) Double Six perlu didedahkan kepada umum kerana semua orang – keluarga, pemimpin semasa dan masa depan dan juga orang awam – berhak untuk tahu (punca kemalangan),” kata Aziz.
“Ini adalah pendapat peribadi saya tetapi saya percaya parti saya juga akan berpendirian demikian. Saya berharap kerajaan sekarang akan mendengar permintaan ini.”