
Langkah Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) ke atas pengasas Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) itu adalah ekoran status beliau sebagai seorang ‘pelarian’ setelah tidak pulang ke India walaupun dipanggil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan kaitan dengan keganasan dan pengubahan wang haram.
Menurut sumber-sumber peringkat tinggi yang dipetik akhbar itu, Zakir “kemungkinan besar berada di Malaysia dan mahu mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.”
Langkah terbaru NIA ini muncul beberapa minggu selepas ia mendampingi Interpol untuk mengeluarkan notis merah terhadap Zakir.
Permintaan untuk notis merah pada bulan lepas adalah selepas NIA mengeluarkan waran tangkap tidak boleh diikat jamin pada 20 April lalu kerana ia mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Zakir mengelak waran tangkap awal agar pulang untuk disoal siasat berhubung kes pengubahan wang haram.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Interpol telah didampingi selepas siasatan selama 10 bulan di mana semua tuduhan terhadapnya disahkan.
Menurut The Indian Express, NIA juga telah mengambil keterangan kakak Zakir, Nailah Noorani dan seorang pembantunya, Aamir Abdul Mannan Gazdar berhubung urus niaga kewangan termasuk sekurang-kurangnya 10 syarikat dan 19 hotel di Mumbai dan Pune di mana Zakir telah membuat pelaburan dianggarkan Rs104 (RM70 juta).
Zakir juga dituduh menyebarkan kebencian dengan ucapan provokatif beliau, pembiayaan pengganas dan pengubahan wang selama ini.
Selain IRF, siaran Peace TV Zakir juga telah diharamkan oleh kerajaan India.
Sementara itu, sumber memberitahu akhbar itu, pasport Zakir telah diperbaharui dengan tempoh sah selama 10 tahun di Mumbai pada 20 Januari tahun lepas.
Malah, rekod imigresen India juga menunjukkan Zakir meninggalkan India pada 13 Mei tahun lepas dan tidak kembali sejak itu.