
Ahli baharu DAP itu berkata, beliau pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang secara sukarela, sebelum ditahan dan telefon bimbitnya dirampas serta keterangannya diambil.
Katanya, beliau disiasat polis kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah itu berkata, beliau turut diarah melaporkan diri di ibu pejabat polis itu pada 7 Julai nanti untuk mengetahui status kesnya dan sama ada beliau akan didakwa di mahkamah.
Jufazli hadir ke balai polis hari ini dengan ditemani 14 pemimpin DAP, termasuk Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong serta Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Chong.
Beliau pernah ditahan pada 9 November 2016 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia. Beliau ditahan sehingga 15 November.
Pada 26 Mei lalu, Jufazli memaklumkan beliau menerima panggilan daripada polis mengenai kes terbaharu terhadapnya, di mana beliau dijadualkan bertemu seorang pegawai di Kota Kinabalu, hari ini.
Aktivis dari Semporna itu lantang mengkritik kerajaan Sabah, terutamanya mengenai kes rasuah melibatkan jabatan air negeri, di mana seorang bekas pengarah dan 2 yang lain didakwa mengubah wang membabitkan RM61.48 juta. Kes itu akan bermula 4 Julai ini.
Pemuda berusia 28 tahun itu yang bercadang mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, menyertai DAP sebagai ahli seumur hidup, kelmarin.
Beliau berkata, sebagai umat Islam, beliau berbangga memilih DAP dalam usaha menewaskan Musa dan BN.
Katanya, beliau melepaskan tugasnya sebagai seorang pensyarah di universiti swasta untuk menumpukan perhatian terhadap perjuangan demi Sabah yang lebih baik, dan akan berpangkalan di Sandakan, di mana letaknya DUN Sungai Sibuga sehingga PRU14.