
Kata beliau, perkembangan semasa menunjukkan Kementerian Kesihatan tidak berupaya menyediakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Mengapa kita mempunyai keadaan lebihan penawaran doktor? Siapa yang akan memikul tanggungjawab yang kita tidak sepatutnya membenarkan kewujudan kolej perubatan seperti cendawan?” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menerusi kenyataan media.
Kulasegaran berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu di Parlimen kira-kira 10 tahun lalu sambil menegaskan situasi lebihan bekalan doktor akan berlaku jika kelulusan untuk kolej perubatan baharu tidak dikawal.
Kata Kulasegaran ketika itu Kementerian Kesihatan mendakwa beliau tidak faham situasi sebenar dan dimaklumkan bahawa negara memerlukan ramai doktor.
“Statistik telah dilemparkan kepada kami untuk menunjukkan hujah kami cetek dan hujah-hujah kami salah,” kata beliau.
“Tetapi sekarang kita berada dalam keadaan rugi-rugi. Adakah lebihan bekalan ini akan ditangani? Adakah kerajaan mempunyai iltizam politik untuk menangani isu ini?”
Beliau juga menyangkal kenyataan Timbalan Ketua Pengarah kementerian itu, Dr S Jeyaindran yang mendakwa graduan tempatan hanya perlu menunggu purata tiga bulan untuk latihan pegawai perubatan.
“Bagaimana kita boleh mengharapkan Kementerian Kesihatan untuk menyelesaikan masalah yang serius ini, yang dihadapi oleh graduan perubatan apabila timbalan ketua pengarah sendiri boleh memberi kenyataan salah,” kata beliau.
Selasa lalu, Jeyaindran dipetik The Star sebagai berkata, graduan universiti tempatan yang perlu menjalani latihan pegawai perubatan hanya perlu menunggu sehingga tiga bulan.