Perlukah pengawal udara terbang bersama penumpang Malaysia Airlines?

Perlukah pengawal udara terbang bersama penumpang Malaysia Airlines?

Bekas bos MAS berkata jika kerajaan menggubal undang-undang perlunya marsyal udara, syarikat itu perlu memastikannya perkhidmatan kekal cemerlang.

Abdul-Aziz-Abdul-Rahman
PETALING JAYA: Apakah Malaysia Airlines perlu mewujudkan pengawal udara di dalam penerbangannya susulan beberapa insiden ketika pesawat di udara?

Bekas pengarah urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, tidak selesa dengan idea itu kerana ia boleh menjejaskan konsep “hospitality” yang mementingkan layanan mesra seperti diamalkan syarikat itu.

Soalan tersebut timbul selepas kejadian Rabu lalu di mana Penerbangan MH128 Malaysia Airlines dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang cuba menceroboh masuk ruang kokpit.

Jika kerajaan Malaysia menggubal undang-undang perlunya marsyal udara, Aziz berkata syarikat penerbangan itu perlu memastikan perkhidmatan dalam penerbangan mereka kekal cemerlang.

“Industri penerbangan perlu mengimbangi antara pengurusan krisis dan mengekalkan kualiti tertinggi dalam perkhidmatan penerbangan mereka,” katanya.

Beberapa negara di dunia mengamalkan khidmat marsyal udara yang juga dipanggil “sky marshal” di dalam pesawat bersama-sama penumpang mereka. Ini termasuk Amerika Syarikat, Singapura, India, Pakistan, Australia, Britain, Ireland, Jerman dan Austria.

Perkhidmatan Marsyal Udara Persekutuan Amerika Syarikat (FAMS) ditubuhkan pada 1960-an tetapi jumlah marsyal udara meningkat dalam penerbangan mereka selepas serangan 11 September ke atas AS.

Singapore Airlines mula menggunakan marsyal udara pada 2003, diikuti oleh SilkAir.

India berusaha meningkatkan tahap keselamatan dalam penerbangan mereka pada 1999 dengan memperkenalkan marsyal selepas penerbangan Indian Airlines dari Kathmandu ke New Delhi dirampas 5 lelaki bersenjata.

Terdapat laporan marsyal udara kadang-kala bertindak di luar jangkaan. Pada April, penumpang menjumpai pistol berpeluru di dalam tandas pesawat penerbangan US Delta dari Manchester, England ke New York.

Pistol itu dikatakan milik seorang marsyal udara persekutuan. Walaupun lalai meninggalkan senjata di tempat awam, marsyal yang sama masih bertugas dalam penerbangan lain beberapa hari kemudian, menurut New York Times.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.