
Syarikat itu mengisytiharkan keuntungan sebanyak RM6.59 juta bagi tempoh suku ke-4 dari Januari hingga Mac 2016. Jumlah ini meningkat kepada RM148.96 juta bagi suku yang sama tahun ini.
Adakah ini bermakna produk paling popular iaitu Aji-No-Moto yang menggunakan monosodium glutamate (MSG) sebagai bahan utamanya, semakin banyak digunakan dalam makanan oleh rakyat Malaysia?
Walaupun terdapat laporan isu kesihatan ke atas penggunaan MSG dalam penyediaan makanan, Ajinomoto berkata produk itu diterima baik oleh rakyat Malaysia.
“Aji-No-Moto mempunyai 90% perkongsian pasaran di negara ini, menurut statistik yang dikumpulkan ke atas penggunaan produk itu di rumah, restoran dan kedai makan di Malaysia,” kata jurucakap syarikat itu kepada FMT.
FMT melawat beberapa kedai makanan dan minuman di sekitar Selangor untuk mengukur penggunaan produk tersebut.
Pengurus outlet Hangover Bar di Damansara Perdana, James Cupa berkata menjadi perkara biasa restorannya menggunakan penambah rasa.
“Kami menggunakan penambah rasa untuk menjadikan hidangan kami lebih menarik dari segi rasa,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata ini sangat tepat kerana restoran hanya menggunakannya dalam kuantiti yang minimum untuk menjadikan hidangan lebih “kick”.
“Kami tidak menggunakannya untuk menggantikan perasa hidangan itu sepenuhnya,” tambah Cupa.
Seorang lagi pengusaha restoran, Rakesh Kumar berkata restorannya menggunakan MSG semasa menyediakan masakan Melayu.
Rakesh yang menguruskan Mr Soul Bistro di Damansara Perdana memberitahu FMT, MSG menjadi perasa yang diterima mana-mana restoran di Malaysia.
“Kami menggunakannya apabila menghidangkan masakan Melayu. Ia memberi lebih rasa dan kami mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya.
Penggunaan penambah rasa ini lebih ketara di kedai makan mamak sekitar bandar ini.
Abdullah Naina Mohamed, pengurus di Faiz Restoran di Puchong berkata outletnya menggunakan MSG berbentuk serbuk.
“Kami kerap menggunakannya dalam hidangan kami. Ia adalah perkara biasa bagi kami. Makanan kami akan menjadi sedap,” katanya.
Abdullah berkata kedainya menarik ramai pelanggan sejak mereka mula menggunakan MSG pada Mac.
“Keuntungan selepas itu meningkat dan kedai kami sentiasa mempunyai pelanggan yang keluar masuk.”
Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang memberi amaran produk itu dianggap bertoksik dengan menyifatkannya sebagai “racun perlahan”.
“MSG menyumbang kepada pengambilan sodium yang tinggi,” katanya ketika dihubungi FMT.
Persatuan itu berkata Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada rakyat Malaysia di mana penggunaan sodium yang berlebihan menjadi punca utama kepada tekanan darah tinggi dan strok.
Penyelidikan mengaitkan MSG dengan masalah kesihatan seperti strok, kecederaan otak dan meningitis tetapi itu tidak menghalang orang ramai mengambil makanan yang dimasak dengan penambah rasa tersebut.
Bagaimanapun, kajian oleh Ajinomoto menunjukkan MSG adalah glutamat iaitu asid amino yang paling kerap ditemui dalam makanan yang kaya protein dan ia tidak mempunyai sifat karsinogenik.
MSG antara jenis perasa makanan tertua di dunia dan dipatenkan Ajinomoto Jepun pada 1909.