Whatsapp bogel: Indonesia minta bantuan Interpol bawa Rizieq dari Arab Saudi

Whatsapp bogel: Indonesia minta bantuan Interpol bawa Rizieq dari Arab Saudi

Pemimpin FPI itu enggan pulang dan dinamakan suspek dalam kes melibatkan teks dan gambar lucah menerusi telefon.

Rizieq-Shihab
JAKARTA:
Pihak berkuasa Indonesia sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa atau Interpol untuk membawa pulang pemimpin kumpulan Front Pembela Islam (FPI), yang dinamakan polis sebagai suspek dalam kes melibatkan perbualan dan gambar lucah dalam Whatsapp bersama seorang wanita.

Jakarta Globe bagaimanapun melaporkan Rizieq Shihab, yang bertanggungjawab menganjurkan protes umat Islam membantah gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama baru-baru ini, enggan pulang ke Indonesia sehingga Presiden Joko Widodo letak jawatan.

Rizieq berada di Malaysia sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan Umrah.

“Jenayah utama beliau ialah turut serta dalam menghantar dan bertukar-tukar kandungan lucah,” kata jurucakap polis Jakarta Argo Yuwono dipetik Reuters.

Peguam Rizieq bagaimanapun menafikan tuduhan itu, dan berkata ia dicipta oleh penyokong Purnama.

Sebelum ini, wanita bernama Firza Husein dinamakan polis Jakarta sebagai suspek yang berkongsi kandungan lucah termasuk gambar bogelnya dalam perbualan WhatsApp dengan Rizieq.

Gambar dan paparan skrin perbualan mereka tersebar di media sosial baru-baru ini.

Mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 6 tahun kerana menyebarkan bahan lucah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.