SPAD, Uber bincang kaedah keselamatan pengguna

SPAD, Uber bincang kaedah keselamatan pengguna

Tindakan undang-undang tidak dapat diambil buat masa sekarang kerana Uber belum dilesen atau belum dikawal selia.

Nancy-Shukri-UBER
KUCHING: Satu perbincangan antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan Uber sedang dijalankan bagi memperhalusi kaedah terbaik memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya mengambil maklum kes rompakan oleh seorang pemandu Uber terhadap seorang penumpang wanita baru-baru ini dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah di bawah bidang kuasa polis.

“Kami tidak lepas tangan, pihak SPAD sudah bertindak, hari ini mereka (SPAD) ada perbincangan dengan Uber dan saya sendiri akan berjumpa dengan pihak Uber petang esok untuk berbincang apa lagi yang boleh dilakukan.

“Sekarang ini Uber belum dilesen atau belum regulate (dikawal selia) sebab itu kita tidak dapat ambil tindakan undang-undang. Tindakan hanya boleh diambil oleh polis kerana itu kes jenayah (dan) kerana kita dengan Uber buat masa ini belum ada pertalian,” katanya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata apabila peraturan e-hailing diluluskan oleh Parlimen, pengendali perkhidmatan e-hailing akan bertanggungjawab untuk mengamalkan standard keselamatan dan mutu perkhidmatan tertinggi.

“Kita akan perhalusi apa yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna yang menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Seperti kes rompakan yang berlaku itu biarpun pemandu itu ada rekod (dengan Uber) pun boleh berlaku jadi ini kita nak ambil kira supaya bila rang undang-undang pindaan diluluskan apakah ciri-ciri keselamatan yang perlu kita ketatkan dengan pengendali perkhidmatan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.