Pemuda Umno dakwa Zam iri hati

Pemuda Umno dakwa Zam iri hati

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii berkata, zaman kegemilangan negara tidak pernah malap meskipun kepimpinan negara silih berganti.

Razlan-Rafii
PETALING JAYA:
Pemuda Umno mendakwa bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin “iri hati” apabila melihat kejayaan dicapai di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berbanding pemimpin sebelum ini.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii berkata, zaman kegemilangan negara tidak pernah malap meskipun kepimpinan negara silih berganti.

Katanya, ia dapat dilihat melalui pelbagai statistik dan kajian pembangunan serta tahap ekonomi yang terus berkembang dan semakin baik.

“Ya memang tidak dinafikan ada segelintir pihak yang iri hati apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang dikecapi negara kita hari ini.

“Terbaru, membaca artikel Zainudin Maidin (Zam) berkenaan Umno yang dikatakan tidak ada lagi masa depan, ia jelas menunjukkan keluhan iri hati dan suara sakit hati bosnya yang sehingga ke hari ini masih gagal membuat ‘rampasan kuasa’ walau sudah diberi peluang menerajui negara selama 22 tahun yang lalu,” kata beliau.

Razlan mengulas entri terbaharu Zam yang antara lain menyebut Umno tiada lagi masa depan kerana jasa parti itu sudah terpadam dan sukar menebus kembali keyakinan rakyat, kata bekas menteri penerangan.

Zam berkata, keadaan ini berlaku kerana barisan pucuk pimpinan Umno sekarang, masing-masing mahu jadi “lebih besar” daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang nilaikan seorang demi seorang, apakah ada di antara mereka layak dan diyakini untuk menjadi perdana menteri menggantikan Datuk Seri Najib Razak?” soal Zam dalam catatan blognya.

Mengimbau era pemerintahan perdana menteri selepas pengunduran Dr Mahathir pada Oktober 2003, yang digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketua pengarang Kumpulan Utusan itu berkata, perdana menteri ke-5 itu menempah sejarah “lebih besar” kerana menjanjikan kebebasan bertaraf demokrasi dunia kepada rakyat.

“Atas nasihat menantunya, Pak Lah memberi ganti rugi jutaan ringgit kepada hakim-hakim yang pernah dihukum Dr Mahathir kerana menghalang dasar negara.”

Apabila Najib menggantikan Pak Lah, beliau mahu menjadi “lebih besar” lagi. Najib yang mahu menjadi bapa demokrasi Malaysia menghapuskan Akta Hasutan dan Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang turut disambut baik pembangkang.

Kata beliau, apabila 2 perdana menteri ini mahu menjadi lebih ternama dan teragung berbanding Dr Mahathir, maka rakyat yang menjadi mangsa.

Menjawab tulisan itu lagi, Razlan berkata, Zam yang ketika memimpin Kumpulan Utusan sering bertungkus lumus bagi memberikan imej baik dan menceritakan kehebatan negara di bawah kepimpinan Umno dan ketuanya.

“Barangkali hari ini mungkin sudah terlupa asal usul perjuangan dan hala tuju sebenar dek disebabkan terlalu lama menjadi seorang pentaksub dengan bosnya yang gila kuasa,” kata beliau.

Di sebalik kehebatan menulis, kata Razlan, Zam juga pernah diberi peranan sebagai menteri penerangan oleh Abdullah semasa menyandang jawatan perdana menteri.

“Zam merupakan seorang menteri penerangan yang gagal di eranya dan sejarah ini berlaku 10 tahun yang lalu dan ramai ahli Umno yang turut memperakui kegagalan tersebut.

“Jika hendak diceritakan mengenai keyakinan rakyat terhadap Umno, perlu ditanya kepada orang yang bersama dalam perjuangan Umno sehingga hari ini, bukannya bertanya kepada mereka yang bergelar penentang kepada parti ini seperti Zam atau bosnya,” katanya.

Razlan berkata, Zam perlu berkarya berdasarkan fakta sebab ia adalah prinsip dan nilai sebagai wartawan dan pengamal media.

“Fakta hari ini menunjukkan Bernama, RTM, Media Prima, Utusan dan lain-lain syarikat media cetak dan elektronik meningkat jumlah pembaca dan penontonnya disebabkan prinsip yang masih dipegang dengan baik.

Kata beliau, Zam dan rakan-rakannya tidak boleh menerima kekurangan diri sendiri, sebaliknya menunding jari kepada sesiapa dan berteriak menyalahkan orang lain.

“Negara ini dibina ketika zaman anda dan ‘kegagalan’ yang tercipta dari dalam minda fikiran anda adalah kegagalan anda sendiri,” katanya.

Zam: Era ’emas’ sudah runtuh, Umno tidak lagi diyakini rakyat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.