
Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP itu berkata, setiap rakyat dari pelbagai agama perlu patuh kepada Perlembagaan dan Rukunegara jika mereka mahu menjadikan Malaysia sebuah “negara kelas atasan”.
“Malaysia hanya boleh berjaya sebagai negara kelas atas, bersaing dengan negara lain jika rakyat Malaysia berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukunegara dan Perlembagaan, sama ada yang beragama Islam, baik Buddha, baik Kristian, baik Hindu, baik Sikh, baik Tao ,” kata beliau menerusi kenyataan media.
Kata Kit Siang: “Inilah ironinya. Apabila Malaysia minta dunia mengamalkan wasatiyyah (kesederhanaan), prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan, saling menghormati dan kecemerlangan bagi semua kaum, bangsa dan agama di dunia melalui GMM, tetapi di dalam negara ini, sejak kebelakangan ini, waasatiyyah seolah-olah ditolak ke tepi oleh nilai-nilai bertentangan.”
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, politik di negara ini akhir-akhir “beracun” disebabkan persekitaran menyemai pembohongan, kebencian dan ketakutan, dengan ketaksuban, sikap tidak bertoleransi dan fanatik, yang digunakan untuk mencorak wacana awam dan debat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bicara buku “Becoming Hannah: A Personal Journey”, tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dari DAP.
Pada 17 Mei lalu, pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis di mana beliau mendakwa buku itu terkandung “terlalu banyak cerita dan petikan dari Bible” dan boleh mempengaruhi iman mereka yang membaca buku itu.
Kamarul yang membuat laporan polis terhadap Adun Subang Jaya itu atas dakwaan cuba menyebarkan agama Kristian juga berkata, buku biografi Yeoh hanya boleh dijual di kedai buku yang menjual bahan agama Kristian.
Sebelum ini, Sisters in Islam (SIS) mempertahankan Yeoh susulan dakwaan pensyarah itu. SIS berkata, rakyat tidak seharusnya melihat petikan Bible sebagai cubaan untuk menyebarkan agama Kristian, sebaliknya beliau hanya berkongsi perjalanan hidupnya semata-mata.
“Sisipan petikan kitab Bible dan perbincangan mengenai hubungannya dengan kepercayaannya memaparkan kepercayaan dan keyakinan beliau terhadap agamanya dalam membantu beliau berkhidmat kepada rakyat.”
SIS mengkritik Kamarul dengan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
Kit Siang menambah, beliau tidak terpengaruh atau keimanannya terjejas selepas membaca buku itu.
“Saya bukan seorang Kristian dan (selepas) membaca buku dia, saya tidak merasa Hannah telah cuba memurtadkan atau menjadikan mana-mana orang sebagai Kristian,” katanya.
“Saya memang terkejut dan terkejut apabila seorang ahli akademik universiti boleh membuat kesimpulan sedemikian,” kata beliau.
Kata beliau, buku itu menerangkan perjalanan peribadi Yeoh iaitu bagaimana dirinya mendapat tempat dalam arena politik dan perkara-perkara yang dialami untuk berjaya.
“Perjalanan Hannah sebagai seorang Kristian yang baik tidak boleh mengancam, tetapi hanya memenuhi perjalanan beliau sebagai rakyat Malaysia,” kata beliau, sambil menambah, prinsip yang sama digunakan oleh mereka yang beragama lain dalam menghayati agama mereka sendiri.
Kit Siang menambah, terdapat “kuasa-kuasa gelap” yang mahu memerangkap kesudahan pilihan raya umum akan datang dengan mendakwa persaingan adalah antara orang Melayu dan Cina serta antara Islam dan musuh-musuh Islam.
Kedua-dua senario itu katanya, adalah palsu dan tidak bertanggungjawab, direka untuk menjerumus Malaysia ke dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemupukan sifat muhibah dan kesederhanaan di kalangan semua kaum demi menyelamatkan Malaysia.