Pengasas JJPTR bersembunyi demi keselamatan, kata peguam

Pengasas JJPTR bersembunyi demi keselamatan, kata peguam

Selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Mei lalu, Johnson Lee tidak kelihatan di khalayak ramai, tetapi peguamnya berkata, anak guamnya perlu melaporkan diri di Balai Polis Taiping secara tetap.

JJPTR
PETALING JAYA:
Khabar angin kononnya pengasas skim pelaburan “JJ Poor to Rich” (JJPTR) melarikan diri ke luar negara tidak benar, kata peguamnya yang dipetik The Star.

Johnson Lee sebelum ini ditahan polis di Taiping sehingga Selasa lalu, apabila tempoh remannya berakhir. Dia dan 2 orang kanannya di JJPTR direman polis sehari, tetapi permohonan melanjutkan reman ditolak mahkamah.

Disebabkan tiada berita mengenai kedudukannya sejak dia dilepaskan dengan jaminan polis, timbul persoalan jika dia sudah melarikan diri ke luar negara.

Bagaimanapun, peguamnya G Jaya Prem menafikan khabar angin itu dengan berkata, Lee kini menyembunyikan diri.

“Anak guam saya mahu mengelakkan diri menjadi perhatian ramai atas faktor keselamatan.

“Lee masih perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping secara tetap. Saya sentiasa berhubung dengan dia,” katanya dipetik akhbar itu.

Beliau berkata, sebarang tindakan lanjut hanya akan diambil berdasarkan hasil siasatan berhubung pembabitan Lee dalam skim pelaburan itu yang didakwa menipu ribuan rakyat Malaysia sehingga mencecah RM1.7 bilion, menurut polis.

JJPTR mula mendapat perhatian media sejak bulan lalu selepas Lee mendakwa dananya dipindahkan “penggodam” mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta).

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, JJPTR mengutip wang pelaburan sehingga RM1.7 bilion dan kira-kira 400,000 individu dipercayai menjadi mangsa, dengan 300,000 daripadanya ialah warga tempatan dan bakinya warga asing.

Polis turut dilaporkan berkata, mereka tidak menemui sebarang bukti yang akaun JJPTR digodam.

Pada 12 Mei lalu, pihak berkuasa menyerbu 8 pejabat JJPTR di sekitar Pulau Pinang dan menahan 15 pekerja termasuk 13 wanita dan 4 pelabur berusia 23 hingga 40 tahun untuk disoal siasat.

Ia disusuli penahanan Lee dan 2 orang kanannya buat pertama kali oleh pasukan JSJK Bukit Aman di Klang pada 16 Mei lalu.

Ketiga-tiganya direman sehingga 19 Mei di Klang dan dibebaskan, sebelum mereka ditahan semula dan dibawa ke Pulau Pinang, di mana laporan awal polis dibuat terhadap mereka bulan lalu.

Selepas polis Pulau Pinang gagal mendapatkan perintah tahanan reman terhadap mereka bertiga, polis menahan mereka semula dan dipindahkan ke Taiping, di mana satu lagi laporan polis dibuat di sana.

Skim pelaburan JJPTR ditubuhkan pada 2015 dengan menjanjikan pulangan 20% sebulan. Sebuah lagi skim baharu diumumkan awal bulan ini yang menjanjikan pulangan setinggi 35% sebulan.

3 suspek skim JJPTR bebas dengan jaminan polis

400,000 mangsa skim pelaburan JJPTR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.