
Peguam Zahid, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata kedua-dua kes akan didengarkan di depan Hakim Datuk Kamaludin Md Said.
“Bagaimanapun, hakim akan mendengar pihak terbabit secara berasingan kerana isu yang dibangkitkan berbeza,” kata Haniff kepada pemberita selepas pengurusan kes.
Peguam Ganesan Nethi tampil mewakili Azmin manakala peguam kerajaan Shamsul Bolhassan tampil mewakili bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.
Azmin, dalam permohonan semakan kehakimannya, memetik testimoni Ambrin semasa perbicaraan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang menyatakan laporan itu diklasifikasikan atas arahan Najib.
Azmin berkata ketua audit negara dan Najib yang enggan membuka laporan itu kepada orang awam tidak boleh bersembunyi di sebalik OSA.
Azmin berkata sudah berlaku percanggahan kepentingan di pihak Najib kerana beliau pada ketika itu penasihat 1MDB.
Zahid dalam permohonannya terhadap Najib dan Ambrin berkata mengklasifikasikan laporan itu di bawah OSA sudah melanggar undang-undang.
Beliau berkata laporan audit sepatutnya dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong apabila selesai.