PPBM pertikai kredibiliti hasil kajian Rafizi

PPBM pertikai kredibiliti hasil kajian Rafizi

Jumlah responden yang di bawah 0.7% di samping ketiadaan maklumat demografi selain daripada bangsa menimbulkan keraguan, kata Rais Hussin.

ppbm-rafizi
PETALING JAYA: PPBM hari ini mempersoalkan hasil kaji selidik sebuah badan berkait PKR semalam yang merumuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri popular, dengan menimbulkan beberapa soalan yang mempertikaikan kredibiliti teknik yang digunakan.

Pengerusi, Biro Dasar dan Strategik PPBM Datuk Rais Hussin berkata beberapa butiran mengenai kaji selidik yang diumumkan pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli, menimbulkan beberapa keraguan, termasuk responden yang terlalu sedikit.

“Keadaan ini tidak diterima dalam amalan kajian sainstifik yang berkualiti kerana kita tidak mengetahui mengapa dan siapa 99.36% responden yang telah dipilih tetapi tidak menjawab,” kata Rais mengulas hasil kaji selidik itu.

Rafizi berkata Invoke melakukan kajian selama lebih 3 bulan melibatkan 2.8 juta pengundi, di mana 18,000 memberikan respon, tetapi daripada jumlah ini, 34.4% tidak menjawab.

Ini bermakna kira-kira 11,500 daripada 2.8 juta, atau kurang 0.7%, menjawab kaji selidik tersebut.

Menurut Rais, respon tersebut terlalu rendah, dan tidak boleh dijadikan ukuran pandangan pengundi.

Menurut kajian Invoke, daripada 18,000 yang memberi respon, 31% didapati mahu mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, sementara 34.6% memilih antara 9 calon pembangkang termasuk Rafizi.

Di kalangan 9 calon itu, Anwar menerima sokongan 23.5%, diikuti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%, Dr Mahathir (16.5%), dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).

Rais yang sebelum ini mengumumkan hasil kaji selidik secara bersemuka dengan hampir 3,000 rakyat Malaysia di lebih 30 kawasan pilihan raya, juga mempersoalkan bagaimana 2.8 juta dipilih untuk dihubungi melalui telefon.

“Apakah asas memilih (mendail) 2.8 juta orang pengundi? Perlu difahami bahawa saiz sampel yang besar tidak semestinya menghasilkan parameter estimation yang tepat. Tanpa alasan yang dapat dipertahankan, bilangan ini dilihat sekadar permainan angka dan tanggapan non-saintifik, iaitu saiz sampel yang besar mencerminkan keputusan yang berkualiti tinggi,” kata Rais.

Rais turut mempersoalkan ketiadaan penjelasan mengenai demografi lain, walaupun terdapat pembahagian responden menurut kaum bagi mencerminkan populasi sebenar.

“Akan tetapi, kegunaan keputusan adalah terbatas tanpa maklumat lanjut tentang taburan dan komposisi sifat-sifat lain — taburan jantina, kategori umur, dan lokasi responden/negeri.”

Rais berkata kajian Rafizi itu perlu diperakukan sekumpulan pakar bebas.

“Tanpa proses ini, keputusan, kesimpulan, dan cadangan yang dikemukakan mudah dipersoalkan. Proses tersebut pastinya membantu supaya kajian tersebut berjaya mencapai tahap tentu sah dan kebolehpercayaan yang munasabah,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.