Pemuda PKR: Jual saham Proton bantu liberalisasi industri automotif

Pemuda PKR: Jual saham Proton bantu liberalisasi industri automotif

Dr Afif Bahardin berkata, sejajar langkah liberalisasi itu, kerajaan wajib menamatkan dasar perlindungan dalam pasaran automotif negara dengan menurun atau menghapuskan cukai jualan ke atas kenderaan import.

Afif-Bahardin_geely_600
PETALING JAYA:
Pemuda PKR menyambut baik penjualan 49.9% saham Proton Holdings Bhd kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) semalam yang disifatkan langkah wajar dan adil untuk meliberalisasikan pasaran automotif negara.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata, langkah liberalisasi itu akan menggalakkan persaingan sihat antara semua pembuat kereta, tidak kira dari dalam atau luar negara.

Tetapi, katanya, sejajar langkah liberalisasi itu, kerajaan wajib menamatkan dasar perlindungan dalam pasaran automotif negara dengan menurun atau menghapuskan cukai jualan tinggi ke atas kenderaan import.

“Langkah ini wajar dan adil demi memastikan satu pasaran automotif yang bebas dan mampu menurunkan harga kenderaan yang ingin dibeli rakyat.

“Sekaligus ianya dapat meringankan beban rakyat yang terpaksa menanggung bebanan hutang tinggi selama ini.

“Selain itu, langkah ini juga akan mampu menggalakkan pembelian dan menyuntik peningkatan di dalam pasaran automotif negara yang sedikit lembab mutakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain pembelian 49.9% ekuiti dalam Proton oleh Geely, DRB-Hicom Berhad turut menjual 51% kepentingan pembuat kereta Britain, Lotus yang dimiliki Proton kepada syarikat automotif China itu pada harga £51 juta.

Kerjasama strategik itu adalah sebahagian daripada syarat ditetapkan kerajaan untuk Proton menerima pembayaran balik RM1.1 bilion daripada perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM3.5 bilion oleh syarikat itu.

Pada masa sama, Afif menggesa Proton segera melakukan reformasi dari segi pembuatan, penyelidikan dan pemasaran bagi memastikan pembuat kereta nasional itu kekal relevan dan dipercayai pengguna, khasnya rakyat Malaysia.

Kerajaan akan bayar balik RM1.1 bilion kepada Proton

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.