
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Gamuda Berhad menceroboh kawasan hutan simpan kekal yang terletak bersebelahan Paya Indah Wetlands.
Beliau mendakwa pemaju mencuri tanah dari kawasan hutan simpan kekal itu untuk menimbus tanah gambut di tapak projek berkenaan dengan kebenaran kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Selangor.
“Saya melaporkan kepada SPRM perkara yang saya dedahkan tentang pencerobohan tanah kerajaan negeri di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah dicuri menggunakan jengkaut dan lori untuk dipindahkan ke tapak yang ingin dibangunkan di Paya Indah Wetlands.
“Projek tersebut juga tidak mengikut panduan dan gagal menyiapkan 135 syarat yang perlu dipatuhi, tetapi kerajaan negeri memberi kelulusan kepada syarikat untuk membangunkan kawasan tersebut.
“Jadi, laporan ini dibuat supaya tindakan diambil kepada pelaku supaya tidak berlaku jenayah curi ini,” katanya selepas membuat laporan di pejabat SPRM Shah Alam hari ini.
Pada 29 April lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dilapor mempersoalkan bagaimana projek itu boleh dimulakan tanpa kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, kawasan di sebelah Paya Indah Wetlands itu dahulunya diwartakan sebagai tanah pertanian dan beberapa menteri besar sudah menolak permohonan pemaju untuk membangunkan kawasan terbabit.
Bagaimanapun, beliau mendakwa permohonan menukar status tanah itu diluluskan dengan mudah apabila menteri besar bertukar orang dan kerajaan negeri memberi kebenaran luar biasa untuk memulakan projek itu yang diambil alih syarikat baharu.
Pada 7 Mei lalu pula, Noh dilaporkan berkata, pelbagai agensi yang menghadiri mesyuarat antara Majlis Pembangunan Fizikal Negara dan wakil kerajaan negeri pada April lalu menyuarakan kebimbangan projek itu akan memberi kesan buruk kepada ekosistem jika diteruskan.
Mengulas lanjut, Jamal sekali lagi membidas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa “membisu” berhubung isu itu.
“Kenapa kerajaan negeri sehingga tanah hutan simpan licin masih lagi tutup mata. Di mana pengarah Jabatan Perhutanan Selangor?
“Adakah beliau mengikut telunjuk menteri besar atau ada perkara tersembunyi,” katanya sambil mendakwa pencerobohan itu menyebabkan lebih 5 hektar kawasan hutan simpan kekal di Selangor digondol.
“Sekarang ini 5 hektar dan ada lagi kawasan lain. Kalau di luar dengan satu lori tanah bernilai RM350, jadi 5 hektar saya anggarkan puluhan ribu lori terlibat.”
Beliau turut mendakwa sumber dalaman, iaitu kakitangan Gamuda Berhad yang tidak berpuas hati dengan projek itu memberi maklumat kepadanya, selain hasil risikannya sendiri.
“Sumber kami yang pertama ialah kajian daripada NGO, aduan daripada penduduk setempat dan sumber lain termasuklah kakitangan syarikat itu sendiri yang tidak berpuas hati,” katanya.