PKR bimbang kesan perjanjian Geely kepada vendor Proton

PKR bimbang kesan perjanjian Geely kepada vendor Proton

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berharap perjanjian dengan Geely akan memberikan hasil lebih baik untuk Proton, ketika harga jualan 49.9% saham kekal misteri.

wong-chen-geely-4
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR, Wong Chen mempersoalkan sama ada penjualan 49.9% saham Proton Holdings Bhd kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) mengambil kira kesan kepada vendor syarikat kereta nasional yang sedang bergelut itu.

“Adakah Geely akan mempunyai kawalan ke atas industri alat ganti di Malaysia?” soalnya sambil menambah kerajaan perlu memastikan perjanjian itu tidak memberi kesan negatif kepada industri terbabit.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu turut menggesa kerajaan mendedahkan syarat penjualan hampir separuh daripada kepentingan Proton kepada Geely, syarikat berpangkalan di China, seperti diumumkan DRB-Hicom Bhd, pemilik Proton hari ini.

“Kami berharap perjanjian itu akan membawa hasil lebih baik kepada Proton,” katanya.

Perjanjian itu turut menyaksikan Geely memperoleh 51% saham DRB-Hicom dalam pengeluar kereta sport British Lotus.

Kedua-dua pihak memeterai perjanjian itu hari ini dengan disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tanpa mendedahkan nilai jualan. Perjanjian muktamad dijangka ditandatangani pada Julai nanti.

Proton yang diasaskan pada 1983, menerima bantuan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion tahun lalu dengan syarat mereka perlu mencari rakan kongsi strategik asing untuk membantu memulihkan perniagaannya kerana mengalami kerugian selama bertahun-tahun.

Geely, syarikat induk kepada Geely Automobile Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong dan Volvo Car Group dari Sweden, dilaporkan berminat memperluaskan perniagaannya ke Asia Tenggara dengan menggunakan Proton sebagai platformnya.

Geely mengalahkan saingan lain, PSA Group yang merupakan pembuat kereta Peugeot dan Citroen yang berpangkalan di Paris.

Pembida lain termasuk syarikat Perancis, Renault dan dan Suzuki Motor Corp dari Jepun.

Kerajaan akan bayar balik RM1.1 bilion kepada Proton

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.