PKR belum bincang nasib exco PAS, kata Azmin

PKR belum bincang nasib exco PAS, kata Azmin

Tidak ada perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

azmin-pas
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata biro politik parti belum bermesyuarat mengenai nasib 3 exco PAS dalam kerajaan Selangor.

“Kita akan tentukan tarikh dan bincang,” katanya, yang juga menteri besar Selangor, kepada pemberita selepas menggulung ucapan dasar presiden di Kongres Nasional PKR ke-12 hari ini.

Sehingga mesyuarat memutuskan nasib mereka, kedudukan Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal dalam pentadbiran Selangor.

Azmin berkata demikian ketika terdapatnya desakan supaya beliau menggugurkan exco PAS daripada pentadbirannya.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan belum memaklumkan kepada Istana Selangor mengenai penamatan kerjasama antara PKR dan PAS.

Selain 3 exco berkenaan, PAS mempunyai ramai ahli majlis di peringkat pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan ini terbentuk selepas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP memenangi majoriti kerusi DUN di Selangor pada pilihan raya umum 2013.

Meskipun Majlis Syura Ulama PAS menetapkan kerjasama dengan PKR terbatal, badan tertinggi itu menyerahkan nasib 3 exco mereka untuk ditentukan kepimpinan parti.

Pada 18 Mei lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata 3 exco berkenaan kekal dalam kerajaan sehingga Azmin membuat keputusan dan mendapatkan persetujuan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Azmin berkata kongres kali ini menumpukan kepada pilihan raya umum ke-14. Kongres ini dilihat yang terakhir sebelum PRU-14, yang perlu diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

“Kita dengar tadi pembahas menggunakan forum ini untuk memberikan pandangan bagaimana kita dapat memperkukuhkan PKR dan muafakat politik dalam Pakatan Harapan dan juga parti politik progresif. Kita mesti bergerak ke depan,” katanya.

Beliau juga berkata PKR bersedia menghadapi PRU-14 tanpa kerjasama PAS.

“Kita telah bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.