Mukhriz setuju calon PM Pakatan Harapan diumum sebelum PRU14

Mukhriz setuju calon PM Pakatan Harapan diumum sebelum PRU14

Timbalan presiden PPBM berkata kepimpinan PH akan membincangkan perkara itu.

mukhriz-pakatan
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersetuju calon perdana menteri Pakatan Harapan perlu diumumkan kepada orang ramai sebelum pilihan raya umum ke-14, yang dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

“Kami menunggu untuk membincangkan perkara ini dalam kalangan anggota PH sebelum keputusan dibuat,” katanya.

“Namun begitu saya setuju calon PM perlu diumumkan sebelum pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Kongres PKR Kebangsaan ke-12 hari ini.

Mukhriz meminta semua pihak bersabar dalam hal perkara ini, dan berkata ia akan dibincangkan di peringkat tertinggi kepimpinan PH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat calon lain untuk jawatan perdana menteri selain daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya PH menang PRU-14.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail boleh diangkat sebagai perdana menteri peralihan sementara menunggu Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara.

Beliau berkata kepimpinan Wan Azizah terbukti semasa mengemudi pakatan pembangkang selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

PH belum menamakan calonnya sejak PPBM yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai gabungan itu 20 Mac lepas.

Sebelum ini, kepimpinan PKR, DAP dan Amanah menyokong Anwar sebagai perdana menteri semasa berada dalam Pakatan Rakyat yang terkubur pada Jun 2015.

Individu tertentu, termasuk bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai DAP pada 7 Februari lepas menyeru supaya Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, diangkat sebagai pilihan PH.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata perkara ini tidak perlu dibangkitkan sekarang supaya ia tidak menjadi titik perbalahan antara parti komponen.

Pembukaan kongres hari ini menyaksikan perwakilan PKR membawa plakad “Anwar PM ke-7”. Antara yang mengangkat plakad termasuklah Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ditanya mengapa beliau tidak memegang plakad itu, Mukhriz sambil ketawa berkata: “Mereka tidak beri plakad itu kepada saya”.

Sebelum itu, Wan Azizah dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama para naib presiden, mengangkat plakad itu di atas pentas.

Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak mengangkat sebarang plakad. Dr Mahathir semasa di atas pentas kelihatan asyik mengambil gambar himpunan menggunakan telefon bimbitnya.

Muhyiddin kelihatan tersenyum dan menepuk tangan apabila plakad diangkat tetapi tidak melibatkan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.