3 suspek skim JJPTR bebas dengan jaminan polis

3 suspek skim JJPTR bebas dengan jaminan polis

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membenarkan kesemua lelaki yang berusia 28 hingga 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis.

jjptr
BUKIT MERTAJAM:
Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) termasuk dalangnya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membenarkan kesemua lelaki yang berusia 28 hingga 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Peguam G. Jaya Prem yang mewakili ketiga-tiga lelaki itu berkata pihaknya memohon mahkamah menolak permohonan reman terhadap anak guamnya atas alasan mereka telah direman selama 6 hari di Mahkamah Majistret Klang sebelum ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan.

Pada 12 Mei lalu, 1 serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security Malaysia di 8 lokasi berbeza di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua 8 lokasi tersebut yang terdiri daripada beberapa pejabat dan unit kediaman, dipercayai digunakan sebagai pejabat operasi sindiket itu.

Seramai 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan 4 pelabur berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun ditahan.

Turut dirampas 7 unit komputer serta komputer riba, mesin pengira wang, ratusan dokumen syarikat JJPTR, televisyen, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM3,300.

Sindiket itu dipercayai telah mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang dilaburkan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.