400,000 mangsa skim pelaburan JJPTR

400,000 mangsa skim pelaburan JJPTR

Polis berkata mangsa terdiri daripada 300,000 warga tempatan dan selebihnya warga asing

Datuk-Acryl-Sani-Abdullah
KUALA LUMPUR: Kira-kira 400,000 individu dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kontroversi JJ Poor to Rich (JJPTR), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada 300,000 warga tempatan dan selebihnya warga asing.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal jumlah pelaburan paling rendah dibuat oleh pelabur adalah RM4,500 dan ada mangsa yang sanggup melabur sehingga RM100,000.

“Setakat ini, polis hanya menerima kurang daripada 10 laporan polis membabitkan skim pelaburan itu. Kita mahu lebih ramai mangsa tampil membuat laporan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Jenayah Komersial 2017 sempena sambutan Hari Polis ke-210 hari ini.

Selasa lepas, 3 lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan sindiket skim pelaburan JJPTR termasuk dalangnya ditahan di Petaling Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Acryl Sani berkata secara purata nilai kerugian bagi kes penipuan melibatkan pelaburan skim cepat kaya dan ‘Love Scam’ mencecah RM1 bilion setiap tahun.

“Saya percaya nilai kerugian berkenaan lebih tinggi berikutan ada mangsa tidak tampil membuat laporan polis. Mangsa terlibat tidak perlu malu membuat laporan kerana polis akan menjaga rahsia dan sensitiviti maklumat mereka,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.