Di sini tiada hukuman merotan, kata sekolah tahfiz kes tumbuk pelajar

Di sini tiada hukuman merotan, kata sekolah tahfiz kes tumbuk pelajar

Sekolah tahfiz yang terbabit dalam satu lagi dakwaan pelajar dicederakan berkata bentuk hukuman terhadap pelajar tidak menyakitkan.

darul-tahfiz
Darul Tahfiz Ummul Qura menjadi perhatian media baru-baru ini susulan dakwaan seorang guru muda menumbuk pelajar.
SHAH ALAM:
Sebuah sekolah tahfiz di sini yang terbabit dalam kontroversi terkini hukuman mendera pelajarnya, berkata ia mempunyai panduan mendisiplinkan pelajar engkar tanpa mengakibatkan kesakitan fizikal atau kecederaan.

Ahli lembaga penasihat Darul Tahfiz Ummul Qura, Samad Rahim berkata, denda yang dikenakan memberi manfaat di samping menguatkan jasmani.

Ia termasuk menyuruh pelajar membongkok (seperti ruku’).

darul-tahfiz2“Dengan ini badan mereka dapat berpeluh dan menyihatkan badan. Bahkan, denda membersihkan bilik air juga dilakukan. Ia bertujuan agar mereka hargai untuk menjaga tandas agar kekal bersih,” kata Samad (gambar, kiri) kepada FMT.

Satu lagi bentuk hukuman ialah memastikan mereka kekal di dalam kelas beberapa jam sehingga menghafal ayat al-Quran.

Seorang guru di Darul Tahfiz Ummul Qura baru-baru ini didakwa memukul pelajar Tingkatan 1 hingga cedera di rusuk dan lengan.

Kejadian didakwa berlaku pada 10 Mei lepas, ketika mangsa menafikan tuduhan terhadapnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Kejadian itu selang 3 minggu kematian Mohamed Thaqif Amin Mohd Gaddaffi, 11, yang didakwa dicederakan seorang pembantu warden di sekolah tahfiz di Kota Tinggi, Johor.

Samad berkata, sekolahnya tidak membenarkan merotan pelajar.

“Kita langsung tidak membenarkan guru untuk merotan. Jika berlaku ia atas tindakan peribadi guru berkenaan dan bukannya atas arahan pihak sekolah,” katanya kepada FMT.

 

darul-tahfiz3

Bagaimanapun, pengetua sekolah Abd Rasul Rahman (gambar, kanan) berkata guru diberikan panduan merotan.

“Saya ingatkan guru-guru agar tidak merotan di bahagian badan serta jangan sesekali memukul dengan menggunakan tangan atau kaki,: katanya, sambil menambah guru yang terlibat dalam kes pukul di sekolahnya itu mungkin kurang berpengalaman.

Samad pula berkata sekiranya benar guru berkenaan merotan sehingga berdarah, pihaknya tidak akan membelanya.

“Kebiasaannya, mereka (guru) hanya akan merotan lantai,” katanya.

Guru terbabit berusia 21 tahun, dan dikatakan baru bertugas selama 3 minggu sebagai tenaga pengajar selepas menamatkan pengajian Al-Quran.

darul-tahfiz1
Bangunan Darul Tahfiz Ummul Qura di Jalan Kebun, Shah Alam yang mempunyai 90 pelajar.

Masalah wang, latihan guru

Abd Rasul mengakui pihaknya mengalami kekangan sudut kewangan dan ia mendatangkan kesan melatih guru dan warden.

“Kebanyakan ustaz yang ada sekarang ini bekas pelajar kita dan semuanya masih muda. Kami tidak mampu untuk ambil guru profesional dan pengalaman mereka masih belum mencukupi.

“Warden atau ustaz kita juga tidak mendapat kursus seperti guru lain, kewangan tidak menentu. Kadang-kala, hendak beri bonus kepada guru juga terlepas,” katanya.

Darul Tahfiz Ummul Qura dengan jumlah pelajar 90 orang mempunyai kakitangan seramai 15 orang, 10 daripadanya guru. Pelajar dikenakan yuran RM120 sebulan.

Abd Rasul berkata, ada 3 ciri utama sebelum mengambil seseorang itu menjadi tenaga pengajar.

“Pertamanya, kita tengok sama ada dia bertanggungjawab. Ciri kedua adalah dia boleh beri kasih sayang kepada pelajar, ciri ketiga adalah dia dapat berkorban untuk jaga pelajar.

“Warden dan guru juga bertindak mengamankan pelajar, sentiasa memberi perhatian agar pelajar tidak keluar dari madrasah kerana ketika ini banyak kes penculikan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Samad berkata masyarakat perlu memahami sekolah tahfiz sama seperti sekolah lain berdepan pelbagai masalah disiplin melibatkan pelajar nakal.

“Bezanya kami mengajar al-Quran. Kita tidak berpura-pura kononnya lebih baik daripada sekolah lain,” katanya.

Saksi kes pelajar tahfiz ditumbuk rusuk beri cerita berlainan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.