
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood, berkata kes melibatkan Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi itu ditularkan di laman sosial, yang memberikan gambaran negatif terhadap sekolah tahfiz.
Bagi Zahid, ia memperlihatkan pengkritik sekolah tahfiz mempunyai agenda peribadi dan “iri hati” dengan peruntukan yang diterima daripada kerajaan.
“Misalnya ada yang juga daripada bekas menteri sendiri yang mahu sekolah tahfiz ditutup disebabkan kes kematian Thaqif,” kata Zahid kepada FMT baru-baru ini.
Beliau dipercayai merujuk saranan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya sekolah tahfiz persendirian digantung atau ditutup serta-merta, sambil mendakwa madrasah tahfiz tumbuh tanpa pengawasan dan mengamalkan pemikiran kuno.

Bagi Zahid, tuduhan itu mempunyai menyerlahkan apa yang dipanggilnya usaha pihak “sekular” memburukkan institusi tahfiz.
“Takkan sebab marah pada gula kerana kencing manis, kilang gula diminta tutup,” katanya.
“Ada pihak tidak selesa dengan peruntukan yang diberikan kerajaan, misalnya baru-baru ini dapat peruntukan RM30 juta daripada kerajaan.”
Thaqif, 11, meninggal dunia pada 27 April di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru kerana mengalami pembekuan darah.
Sebelum kematiannya, doktor terpaksa menjalankan pembedahan memotong kakinya kerana jangkitan bakteria, dan menunggu pembedahan untuk memotong lengannya.
Ibu Thaqif membuat laporan polis mendakwa anaknya dirotan di tapak kaki dengan paip getah.
Susulan itu, polis menahan seorang pembantu warden Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kota Tinggi, Johor, untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2010. Selepas kematian Thaqif, siasatan diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.
Bagaimanapun, pembantu warden berusia 29 tahun itu dibebaskan pada 3 Mei dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000, selepas polis mengesahkan kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Pemeriksaan kesihatan
Zahid berkata susulan insiden melibatkan Thaqif, PINTA mengarahkan semua pelajar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum masuk ke sekolah tahfiz.
Katanya, tindakan itu bagi membolehkan tidak ada rahsia atau penyakit yang disembunyikan oleh ibu bapa atau pelajar tahfiz.
“Periksa seluruh tubuh, ada sakit atau tidak. Tidak boleh dengar sahaja cakap mulut ibu bapa pelajar terbabit sama ada sakit atau tidak,” katanya yang juga pengetua sekolah tahfiz Darul-Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Zahid sebelum ini mempersoalkan dakwaan pembantu warden di MTAJ mendera Thaqif, sambil berkata rakaman CCTV menunjukkan Thaqif dirotan di bawah kakinya.