
Peguam, Gerard Lazarus memberitahu pendengaran awam EAIC yang beliau “kecewa” dengan penahanan dan kematian Balamurugan serta menyifatkannya “tidak masuk akal langsung”.
Beliau berkata, polis gagal mematuhi arahan majistret untuk membawa anak guamnya ke hospital.
“Majistret sudah mengarahkan (tahanan dibawa ke hospital). Apa yang akan berlaku (pada masa depan) jika arahan majistret tidak dipatuhi?” soalnya.
Mengaitkan apa yang beliau perhatikan di mahkamah hari itu, Lazarus berkata, Balamurugan jatuh sakit pada 7 Februari lalu apabila beliau berada di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menghadiri pendengaran permohonan remannya.
“Dia (Balamurugan) tidak nampak normal. Lemah (dan) mukanya ‘down’. Saya angkat kepalanya (dan) dia minta air. Saya beri dia air mineral dan dia minumnya. Dia kemudiannya muntah di tangan saya dan dalam botol. Ada darah dalam botol.
“Mata dan dahinya bengkak. Dia kelihatan benar-benar sakit. Saya beritahu dia perlukan rawatan perubatan dengan segera, tetapi tidak pasti majistret mendengarnya.”
Empat sesi pendengaran awam EAIC yang berakhir hari ini dengan 2 sesi akan dijadualkan kemudian, diadakan bagi menentukan kematian Balamurugan ketika dalam tahanan polis pada 8 Februari lalu.
Datuk Yaacob Md Sam mempengerusikan pendengaran awam itu.
Balamurugan ditahan pada 6 Februari lalu di Jalan Batu Belah, Klang sebelum ditemui mati pada awal pagi 8 Februari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Lazarus berkata, tahanan lain – Taminarasan dan seorang lelaki bernama Ang yang ditahan pada 6 Februari bersama Balamurugan dan Kanapathy – yang Balamurugan dipukul anggota polis.
“Mereka kata Bala paling teruk dipukul,” katanya.
Selepas Balamurugan muntah, Lazarus berkata, majistret menolak permohonan reman itu atas alasan tahanan tidak sihat.
Katanya, gari di tangan Balamurugan turut dibuka, tetapi beliau tidak dibenarkan pulang ke rumah.
Tiga suspek lain yang ditahan bersama Balamurugan – Taminarasan, Ang dan Kanapathy – direman 7 hari.
Lazarus berkata, ketika sesi pendengaran permohonan reman berlangsung, seorang lagi tahanan yang dibawa ke mahkamah pengsan.
“Sebuah ambulans dipanggil untuk membawa tahanan itu ke hospital. Saya berharap Balamurugan juga akan dibawa ke hospital, tetapi itu tidak berlaku.”
Katanya, beliau dimaklumkan polis akan membawa Balamurugan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Ketika beliau tanya seorang pegawai penyiasat mengenai alasan penahanan Balamurugan, beliau mendakwa pegawai itu tidak tahu, tetapi polis menyasarkan Taminarasan.
Lazarus berkata, abang Balamurugan – Balraj menghubunginya kira-kira 4 petang 7 Februari lalu untuk memaklumkan adiknya masih dalam tahanan polis.
Susulan itu, beliau menasihatkan mereka membuat laporan polis.
Beliau bercakap dengan seorang pegawai polis yang memberitahunya Balamurugan akan ditahan semula.
“Saya kata okey, tetapi meminta dia membawanya (Balamurugan) ke hospital dahulu. Dia beritahu saya mereka akan berbuat demikian.”
Bagaimanapun, sekitar tengah malam itu, Balraj memaklumkan Lazarus yang beliau terdengar khabar angin mengatakan Balamurugan ditemui mati di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Lazarus berkata, beliau kemudiannya bertanya kepada pegawai polis terbabit bagaimana Balamurugan boleh mati.
“Saya diberitahu Balamurugan ditahan semula. Di bawah arahan siapa dia ditahan semula? Saya tidak fikir ada laporan untuk penahanan semula itu.”
Katanya, beliau turut membuat laporan polis berhubung kematian Balamurugan.
“Kecewa dengan polis. Ia tidak masuk akal dia mati begitu sahaja. Tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi,” katanya.
Seorang lagi saksi yang memberi keterangan dalam pendengaran awam itu ialah Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan yang berkata, beliau membenarkan Balamurugan terus duduk dalam kandang tertuduh ketika pendengaran permohonan reman pada 7 Februari lalu.
“Mata (Balamurugan) tertutup. (Seperti) dia tidak tahu di mana dia berada. Apabila saya memanggilnya, dia tidak bertindak balas.
“Dia tidak membuka matanya sepanjang prosiding. Muka dan matanya bengkak.”
Dia kemudian bertanya kepada pembantu pegawai penyiasat, Muhammad Nabil Abd Manaf jika Balamurugan dipukul? Nabil yang mendengar soalan itu bagaimanapun tidak memberi sebarang jawapan.
“Saya beritahu dia bawa Bala ke hospital. Nabil jawab ‘baik Puan’.”
Beliau berkata, polis sepatutnya mematuhi arahannya untuk membawa Balamurugan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Seramai 16 saksi dipanggil dalam sesi pendengaran awam sejak Isnin lalu.
82 gambar bedah siasat bukti jelas punca kematian, kata peguam