
“Kleptocrazy Malaysia” dilancarkan NGO antirasuah itu Jumaat lepas ialah platform khas untuk orang ramai mendedahkan kekayaan luar biasa milik penjawat awam dan ahli politik negara ini.
Gabriel berkata, prosedur tertentu akan diikuti dengan tegas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat keputusan jika ada kes yang memerlukan siasatan lanjut.
“Ada prosedur tertentu dan orang ramai hanya memainkan peranan di peringkat awal, iaitu melaporkannya.
“SPRM akan menjadi ‘gatekeeper’ dan menentukan jika kes itu sah atau tidak,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low semalam berhubung usaha membersihkan rasuah dilakukan laman web itu kemungkinan tidak beretika kerana ia ibarat sebuah mahkamah di mana orang ramai akan bertindak umpama hakim, tidak kira ia benar atau tidak.
Beliau yang bertanggungjawab terhadap soal tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia juga mempersoalkan kredibiliti dan kesahihan maklumat mengenai individu yang dianggap terlibat dalam pelakuan rasuah.
Gabriel berkata, laman web itu akan diuruskan seorang moderator dari C4 dan setiap laporan yang diterima akan dinilai dan hanya kes boleh dipercayai akan disiarkan dalam talian.
“Kita tidak menyiarkan sebarang kes sesuka hati. Moderator akan menilai setiap kes yang dilaporkan orang ramai dari semasa ke semasa.
“Jika kes itu dianggap tidak boleh dipercayai oleh SPRM, kami tidak akan teruskan dan mengeluarkannya dari laman web.”
Beliau berkata, orang ramai adalah elemen terpenting untuk semak dan imbang bagi membendung gejala rasuah.
Gabriel berkata, orang ramai perlu digalak melaporkan pegawai kerajaan dan ahli politik yang didakwa mempunyai “kekayaan luar biasa” kerana ia melibatkan wang pembayar cukai.
“Orang ramai juga perlu terbabit dan digalakkan melaporkan sebarang kekayaan haram dimiliki pegawai kerajaan kerana ia ada kaitan dengan cukai dibayar orang ramai.”
Katanya, “Kleptocrazy Malaysia” juga merupakan satu daripada cara mendesak ahli politik mengisytiharkan harta mereka.
“Usaha ini akan memaksa semua ahli politik mengisytiharkan aset mereka untuk membuktikan tidak ada penyelewengan kekayaan awam dan mereka tidak menjadi semakin kaya.”
Beliau kesal dengan budaya takut di kalangan rakyat untuk melaporkan kes rasuah di Malaysia.
Katanya, pemberi maklumat perlu diberi ganjaran dan dihargai, bukannya hidup dalam ketakutan dan tidak mampu mendedahkan kebenaran.
“Kleptocrazy Malaysia” dilancarkan hampir sebulan selepas C4 menuntut Akta SPRM dipinda bagi mengukuhkan kuasa suruhanjaya itu dalam menyiasat amalan rasuah, khasnya kekayaan luar biasa atau tidak dapat dijelaskan.
Permintaan itu timbul ekoran penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly selepas didakwa memiliki “kekayaan luar biasa” bulan lalu.
Kleptocrazy Malaysia: Menteri bimbang rakyat jadi ‘hakim’, tidak etika
C4 ajak rakyat dedah kekayaan luar biasa ahli politik, penjawat awam