
Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Mohd Nor yang dipetik Berita Harian berkata, hospital yang tidak boleh berbuat demikian disebabkan kekurangan pekerja perlu memberi insentif berbentuk elaun khas kepada mereka.
Beliau dalam satu kenyataan semalam turut menasihatkan pegawai perubatan yang keletihan selepas bekerja lebih masa supaya menaiki pengangkutan awam atau meminta keluarga dan rakan membawa mereka pulang.
“Doktor ‘on call’ perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan rehat di bilik khas pegawai perubatan bagi mendapatkan rehat secukupnya.
“Mereka perlu mengamalkan konsep tidur sebentar sebelum memulakan atau ketika perjalanan pulang.
“Kajian membuktikan tidur selama 15 minit hingga 20 minit di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya dipetik akhbar itu.
Cadangan itu ekoran beberapa kemalangan membabitkan petugas perubatan “on call”, termasuk pakar bius Hospital Sungai Buloh, Dr Afifah Mohd Ghazi dan pelajar tahun 3 sarjana (pakar) kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Nurul Huda Ahmad yang maut, masing-masing pada 9 Mei lalu dan 8 Julai 2015.