
Penyelaras Adun BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Umno tidak mahu sama sekali mencampuri isu membabitkan PAS dan PKR.
“Umno Selangor sama sekali tidak berhasrat untuk campur tangan dalam kemelut ini.
“Itu hak PAS dan kita sama sekali tidak kecewa di atas apa jua kebarangkalian keputusan yang mereka buat itu hal dialah,” kata beliau yang juga Adun Batang Kali kepada FMT.
Dalam laporan FMT awal hari ini, PAS Selangor mendakwa Pengerusi Umno dan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai “manusia paling kecewa” susulan pendirian parti Islam itu mahu kekal dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Nadzari mengulas tindakan PAS Selangor membidas Noh, yang melabel parti itu sebagai tidak bermaruah kerana masih kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun hubungan kerjasama politik dengan PKR ditamatkan, dengan menyifatkan beliau sebagai “manusia paling kecewa.”
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, kenyataan Noh selaku Pengerusi BN dan Umno negeri, bahawa PAS Selangor ‘dayus’ adalah ibarat “meludah ke langit”.
Katanya kenyataan itu juga menggambarkan kekecewaan Noh kerana gagal memecahkan kerajaan Selangor seterusnya menarik PAS untuk bersama Umno.
Nadzari pada masa sama turut menyifatkan tindakan PAS mahu kekal dalam kerajaan Selangor mengelirukan dan ia seolah dilakukan dalam keadaan terpaksa.
“Pada prinisip kita (Umno dan BN Selangor) lihat hubungan ini mengelirukan dan seolah olah ia berlaku dalam keadaan keterpaksaan,” katanya.
Tegas beliau, Umno Selangor tidak akan terpengaruh dengan kemelut yang berlaku melibatkan PAS dan PKR, sebaliknya akan menyusun strategi sendiri untuk menawan semula Selangor.
Ketika ditanya kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS berdepan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Nadzari tidak menolak kerjasama itu, sekali gus menyambut baik cadangan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Umno dan PAS boleh mengulangi kerjasama politik yang pernah disaksikan lebih empat dekad lalu.
“Kita bebas untuk membuat keputusan masing-masing dan tidak salah kalau wujud kerjasama, yang penting rakyat senang dengannya,” katanya.
Ku Li: Tidak salah jika Umno, PAS bentuk kerjasama hadapi PRU