Pandikar tawar diri tanding PRU14

Pandikar tawar diri tanding PRU14

Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan dirinya mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjelaskan isu-isu berbangkit kepada rakyat jika dipilih sebagai wakil rakyat.

pandikar-pru14
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melahirkan minat untuk kembali aktif dalam politik di Sabah, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional untuk menentukan sama ada sesuai dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

“Itu adalah hak pucuk pimpinan parti. Saya cuma menawarkan diri,” kata anak kelahiran Kota Belud ini.

Pandikar, lulusan undang-undang, menyifatkan dirinya mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjelaskan isu-isu berbangkit kepada rakyat jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau dipilih sebagai speaker susulan PRU tahun 2008.

Dipetik Bernama, kata Pandikar, sejak 9 tahun menjawat jawatan speaker Dewan Rakyat, beliau kini lebih memahami pelbagai isu yang sering dibangkitkan oleh kerajaan dan pembangkang pada persidangan dewan.

“Kalau saya menawarkan diri saya begitu (menjadi calon pilihan raya umum), barangkali sayalah yang paling sesuai kerana telinga saya yang sudah mendengar hujah daripada kerajaan, daripada pembangkang selama sembilan tahun mengenai isu global, isu domestik, isu nasional.

“Kalau saya dibenarkan untuk berpolitik kembali, di peringkat akar umbi yang paling penting ialah apabila kita faham isu-isu yang dibangkitkan, kita dapat memperjelaskan kepada masyarakat,” kata beliau.

Pandikar berkata kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota Belud dan Program Negaraku@Komuniti di Kota Belud hari ini.

Sambil berseloroh mengenai umur sebenarnya, Pandikar Amin, 60-an, berkata, usia seseorang bukan penghalang kepada usaha memajukan dan memakmurkan rakyat keseluruhan.

Malah, beliau berkata kepelbagaian cara setiap pemimpin yang berpengalaman boleh dianggap sesuatu yang baik untuk negara.

“Contohnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, seorang pemimpin yang lama berkhidmat di Semenanjung dan lama berkhidmat di Sarawak dan berumur pula.

“Tetapi apabila Allahyarham balik ke Sarawak sebagai ketua menteri, dengan gayanya yang tersendiri oleh kerana sarat dengan pengalaman, Barisan Nasional menang balik kawasan-kawasan yang dimenangi oleh DAP dulu pada pilihan raya negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.