3 warga Turki yang diusir kini disiasat

3 warga Turki yang diusir kini disiasat

Agensi berita Turki melaporkan Ihsan Aslan, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik disoal jabatan anti-pengganas negara itu.

Ihsan-Aslan-warga-turki
PETALING JAYA: Kerajaan Turki sudah mula menyoal siasat 3 warganya yang diusir Malaysia ke Ankara 11 Mei lepas.

Menurut pertubuhan berita rasmi kerajaan Agensi Anadolu, 3 lelaki itu – Ihsan Aslan, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik – dibawa ke ibu pejabat polis Ankara 12 Mei.

Mereka kini sedang disoal siasat Jabatan Counter-Terrorisme polis Turki, lapor agensi itu.

Mereka juga didakwa ahli Pertubuhan Pengganas Fetullah (Feto).

Kerajaan Turki yang dipimpin Presiden Recep Tayyip Ergodan menuduh Feto dipimpin penceramah berpengaruh Fetullah Gulen yang dalam buangan di Amerika Syarikat.

Pengkritik dan aktivis hak asasi manusia bagaimanapun menuduh Erdogan mengada-ngadakan Feto, yang mereka katakan tidak wujud, untuk memburukkan Gulen.

Portal Turkey Purge, pemantau yang mengesan dakwaan pencabulan hak sivil dan pembanterasan politik di bawah Erdogan, mendakwa pentadbiran Erdogan mendalangi langkah membawa pulang 3 lelaki itu.

Ia juga berkata pentadbiran Erdogan menangkap individu yang disyaki menyokong Gulen.

Semalam, Turkey Purge berkata pertubuhan hak asasi manusia khuatir Malaysia memburu warga Turki atas permintaan Ankara.

Portal itu memetik Amnesty International, Human Rights Watch dan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB bagi Asia Tenggara menyeru kerajaan Malaysia tidak mengekstradisi demi keselamatan mereka.

Pada 12 Mei, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan di Twitter bahawa Aslan, Karaman dan Ozcelik dihantar pulang ke Ankara pada hari sebelumnya.

Peguam Aslan, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin berkata pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai penghantaran pulang itu dan hanya mendapat tahu mengenainya daripada wartawan.

“Kami tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Pegawai penyiasat yang menemui kami semalam juga tidak memberi apa-apa maklumat,” katanya.

Aslan, 39, dan Karaman, 43, ditahan pada 2 Mei, dan Ozcelik, 58, ditahan pada 4 Mei.

Ozcelik sebelum ini pernah ditahan pada 13 Disember mengenai isu imigresen selepas pasport beliau dibatalkan kerajaan Turki. Beliau kemudian memperoleh kard UNHCR dan menetap di negara ini sebagai seorang pelarian.

Dalam twit pada 3 Mei, Khalid berkata Aslan dan Karaman ditahan berhubung aktiviti yang mengancam keselamatan negara di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Pada hari yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan IS.

Isteri Aslan, Ainnurul Aisyah Yunos Alir Maricar; isteri Karaman, Ayse Gul Karaman; dan isteri Ozcelik, Hatice Ozcelik bertegas suami mereka tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas, tidak memberi ancaman dan tidak bersalah.

Aslan, seorang peniaga, sudah 15 tahun menetap di Malaysia dan Karaman adalah pengetua di Sekolah Antarabangsa Time di Ipoh, Perak.

Sementara itu, Ozcelik seorang ahli lembaga Universiti Mevlana di Turki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.