Malaysia tingkat saringan Konsep Bukti kepada pemegang kad UNHCR

Malaysia tingkat saringan Konsep Bukti kepada pemegang kad UNHCR

Nur Jazlan Mohamed berkata, UNHCR mahu Malaysia menghormati kad yang mereka keluarkan, tetapi enggan memberitahu jumlah sebenar pemegang kad itu di negara ini.

jazlan-kdn-unchr
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan lebih berwaspada dalam mengeluarkan kad khas kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), berikutan suruhanjaya dunia itu enggan bekerjasama memberikan maklumat tepat mengenai jumlah sebenar pelarian di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, KDN mengambil langkah sedemikian bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini daripada sebarang ancaman yang membahayakan mereka.

Berikutan itu, katanya, KDN menggunakan kaedah saringan Konsep Bukti atau “Proof of Concept” (POC) untuk menyaring latar belakang pelarian berkenaan sebelum mengeluarkan kad khas itu.

“Kad (khas) hanya akan dikeluarkan KDN dengan ia diiktiraf pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memudahkan urusan pemeriksaan latar belakang pemegang kad UNHCR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas kepada SMK Tan Sri Mohamed Rahmat hari ini.

Nur Jazlan berkata, KDN sedang mengenal pasti jumlah pemegang kad UNHCR sebenar kerana adanya pertambahan pelarian ke negara ini yang dibimbangi menjadi laluan masuk pihak tidak bertanggungjawab.

Sehingga kini, katanya, dianggarkan kira-kira 160,000 pemegang kad UNHCR memasuki negara ini, namun bilangan itu tidak sepadan dengan jumlah mereka yang menetap di negara ini.

“Proses untuk mendapatkan kad (UNHCR) tidak melibatkan KDN…ini menjadi kerisauan kita. UNHCR mahu kita hormat kad yang mereka keluarkan, tetapi pada masa sama enggan memberi kerjasama kepada kita.

“Pelarian ini juga didapati tidak bergaul dengan masyarakat dan lebih gemar membentuk komuniti mereka sendiri yang terasing daripada pihak berkuasa,” katanya.

Semasa mengulas laporan ramai warganegara China terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kerana ditipu ejen pekerjaan projek Forest City, Nur Jazlan berkata, siasatan awal Jabatan Imigresen Johor mendapati mereka terpedaya dengan sindiket jenayah terancang.

“Oleh itu, kita telah minta mereka tampil dan kita akan hantar pulang. Kita tidak mahu rakyat China tersadai di sini.

“Mereka juga tidak dibenarkan bekerja di mana-mana syarikat atau projek lain kerana mereka bukan satu daripada sumber tenaga kerja di negara ini,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.