Pihak berkuasa serbu pejabat JJPTR di Pulau Pinang

Pihak berkuasa serbu pejabat JJPTR di Pulau Pinang

Wartawan diminta menunggu penjelasan Bukit Aman, ketika pegawai dari polis persekutuan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara menyerbu premis itu.

JJPTR
GEORGE TOWN: Kira-kira 20 pegawai dari polis persekutuan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia menyerbu pejabat syarikat pelaburan “JJ Poor to Rich” (JJPTR) di Jalan Perak, hari ini.

Kira-kira jam 12.30 tengah hari, pegawai bergegas ke tingkat 1 rumah kedai itu tanpa menjawab soalan wartawan mengenai kehadiran mereka.

Polis kemudian menyekat pintu pejabat itu dan memberitahu wartawan “menunggu Bukit Aman” untuk memberi penjelasan berhubung tindakan itu.

Polis dilapor membekukan 5 akaun bank JJPTR susulan operasi pelbagai agensi itu yang diketuai Jabatan Peguam Negara.

JJPTR mula menjadi perhatian media sejak bulan lalu selepas pengasasnya, Johnson Lee mendakwa dananya dipindahkan “penggodam” mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta). Bagaimanapun, ada yang mendakwa kerugian itu melebihi AS$400 juta (RM1.736 bilion).

Pelabur mula menyerbu pejabat JJPTR apabila pulangan 20% tidak dimasukkan ke dalam akaun mereka bulan lalu.

Pada 27 April lalu, syarikat itu berjanji akan membayar balik semua dana pelaburan yang dikumpul daripada 31,000 ahlinya.

Lee dilaporkan berkata, pembayaran itu boleh dilakukan melalui suntikan modal daripada kumpulan baru pelabur asing.

Katanya, bayaran itu juga akan dibuat kepada mereka yang baru menyertai skim pelaburan itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.