
Perkara ini didedahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berjaya menahan 5 warga Filipina dan merampas 25 cangkerang dan daging penyu seberat kira-kira 100 kg awal minggu ini.
“Penangkap penyu memperoleh kira-kira RM40 hingga RM50 bagi setiap sekilogram daging, manakala orang tengah yang menjual kepada pembeli kebanyakannya dari China mendapat keuntungan besar apabila menjual dengan harga RM70 hingga RM100 sekilogram,” kata Pengarah Maritim Pangkalan Semporna Leftenan Komander Maritim Kama Azri Kamil memetik laporan akhbar harian itu.
Beliau menambah penangkapan 5 warga Filipina itu dibuat selepas APMM menerima maklumat pembunuhan penyu secara meluas di perairan Batura.
“Bot peronda kami menahan dan memeriksa sebuah kapal nelayan dengan 5 anak kapal warga asing. Pasukan itu menemui 25 cangkerang dan daging penyu di atas bot berkenaan selepas pemeriksaan lanjut,” kata Kama.
Menurut akhbar itu, rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM13,000.
Kelima-lima mereka ditahan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (4) enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.
“Mereka juga ditahan di bawah Akta Imigresen untuk tindakan lanjut. Kami terus memantau aktiviti di perairan Semporna untuk menghalang aktiviti menyalahi undang-undang,” Kama berkata kepada The Daily Express.
Penyu dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi Sarawak dan Sabah.
Pada 2015, Jabatan Perikanan di bawah Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani memperkenalkan Peranti Penyisih Penyu (TED) kepada nelayan udang pukat tunda di kawasan pantai timur Sabah, langkah itu bukan sahaja menyelamatkan penyu tetapi juga dugong yang terperangkap dalam jaring pukat tunda udang.