Hakim syariah mahu polis siasat Rafizi ‘cemar’ institusi syariah

Hakim syariah mahu polis siasat Rafizi ‘cemar’ institusi syariah

Ketua Hakim Syariah Wilayah Persekutuan berkata kenyataan pemimpin PKR itu mencemarkan reputasi badan kehakiman.

ho-kit-yen
PUTRAJAYA: Seorang hakim syariah membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli berhubung kenyataan naib presiden PKR itu yang mendakwa hakim syariah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah jika gaji mereka tidak dinaikkan.

Ketua Hakim Syariah Wilayah Persekutuan Datuk Mahammad Ibrahim mendakwa kenyataan Rafizi ketika sidang “Parlimen Rakyat” bulan lalu mencemar reputasi badan kehakiman syariah ini.

“Naib Presiden PKR berkata kita, hakim syariah, mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika gaji kita tidak dinaikkan mengikut pindaan yang dicadangkan di bawah Akta 1965 atau Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

“Beliau seterusnya berkata terdapat lebih hakim syariah yang terima rasuah berbanding hakim mahkamah sivil,” Mahammad memberitahu wartawan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya hari ini.

Beliau berkata dakwaan Rafizi itu tidak berasas kerana hanya terdapat seorang hakim syariah yang disabitkan kes rasuah.

Beliau merujuk kepada kes bekas hakim syariah Perak, Hassan Basri Shafie, yang dijatuhi hukuman penjara 6 tahun oleh Mahkamah Rayuan atas kes rasuah.

Mahammad berkata Rafizi tidak sepatutnya mempolitikkan agama dengan menyerang hakim syariah.

“Saya terkejut apabila saya melihat kenyataan beliau ketika sidang Parlimen,” katanya.

“Kita serah pada pihak polis untuk menyiasat kes ini,” katanya diiringi peguam Mohd Haaziq Pillay dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang juga presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Pada 10 April, Rafizi menganjurkan sesi parlimen olok-olok membahaskan usul presiden PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 196, selepas ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan speaker menangguhkan sidang sebelum usul itu diperdebatkan.

Semasa sesi itu, Rafizi mendakwa terdapat amalan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan hakim mahkamah syariah yang berpendapatan antara RM6,000 dan RM7,000, yang berkuasa memenjarakan orang selama 30 tahun.

“Seseorang berpendapatan rendah diberi kuasa besar untuk memenjarakan seseorang selama 30 tahun – kuasa, jika tidak diuruskan dengan baik, membuka pintu kepada penyalahgunaan kuasa,” beliau dilaporkan berkata demikian.

Usul yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara lain mencadangkan hukuman penjara maksimum terhadap pesalah syariah ditingkatkan kepada 30 tahun, 100 sebatan rotan dan denda RM100,000.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.