
Presidennya, Datuk Akhbar Satar juga mahu “toleransi sifar” untuk “politik wang”, naungan politik, pilih kasih, nepotisme dan konflik kepentingan dalam pemberian konsesi, kontrak atau projek kerajaan.
Beliau menekankan isu pembiayaan parti politik kerana cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik pada September lalu.
“Mempunyai 1 set undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik akan memberi kesan positif kepada Malaysia kerana ia akan meningkatkan imej negara dari segi ketelusan, integriti dan akauntabiliti,” kata Akhbar dalam kenyataan hari ini.
TI-M berkata, wujud kebimbangan integriti serius berhubung kempen penguatkuasaan pembiayaan kerana ahli politik memerlukan sejumlah besar wang untuk menggerakkan kempen mereka.
Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, had perbelanjaan berkempen setiap calon ialah RM200,000 untuk kerusi Parlimen dan RM100,000 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri.
“Hanya perbelanjaan antara tarikh penyiaran notis pilihan raya dan hari pilihan raya tertakluk kepada had kewangan. Oleh itu, tidak ada kewajipan untuk calon mendedahkan sebarang pendapatan atau perbelanjaan di luar tempoh kempen.
“Persoalan kami ialah dana kempen ini datang dari mana dan berapa banyak wang yang sebenarnya dibelanjakan setiap calon?”
TI-M berkata, akses kepada maklumat itu penting untuk menjaga integriti kerana ia menggalakkan ketelusan dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap proses pilihan raya.
TI-M turut menggesa akses media yang adil kepada calon daripada kedua-dua belah parti politik dan perdebatan secara profesional mengenai manifesto politik.
Selain itu, Akhbar berkata, TI-M mahu perhatian diberikan terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang jatuh daripada kedudukan ke-54 pada 2015 kepada tempat ke-55 pada 2016.
“Ahli politik perlu menunjukkan komitmen ke arah ‘pemerhatian prinsip kebenaran, integriti, akauntabiliti dan tingkah laku beretika’ sepanjang tempoh pilihan raya dan selepas diberikan mandat.
“Mereka perlu mengelak politik wang dan sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara berbilang kaum.
“Pemimpin yang membangunkan negara tidak berfikir tentang pilihan raya akan datang, mereka berfikir tentang generasi akan datang. PRU14 bukan sahaja perlu adil dan bersih, tetapi perlu dilihat sebagai adil dan bersih.”