
Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ada yang menyangkakan ia disebabkan perselisihan dasar atau perbezaan dalam aspirasi parti.
“Ia adalah isu amat remeh. Saya sangka ia mengenai dasar atau sesuatu yang (PAS) kehendaki,” katanya merujuk konsert penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat di Shah Alam, pada Julai 2016.
PAS mendakwa penyanyi itu terlalu seksi dan PKR di Selangor tidak cukup komited untuk mengukuhkan Islam.
Usul menamatkan kerjasama dengan PKR diluluskan sebulat suara pada Muktamar Dewan Ulama Khamis lalu, disusuli Muktamar Pemuda keesokannya dan Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, semalam.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Malaysia ialah negara berbilang kaum dan rakyat mempunyai pilihan sama ada mahu pergi ke sebuah konsert.
“Kita bercakap tentang kebebasan memilih, di mana kita tidak boleh menyekat pilihan orang lain. Mereka yang tidak mahu pergi, ada pilihan untuk tidak pergi.”
Wakil rakyat Amanah itu berkata, tiada undang-undang dalam syariah yang melarang umat Islam menghadiri konsert.
“(Jika) mereka mahu larang, jadikan ia undang-undang. Tetapi, ia mungkin terlalu banyak cubaan untuk membendung segala-galanya.”
Katanya, ia jauh lebih baik mewujudkan kesedaran dalam jangka panjang untuk mendidik orang ramai tidak menghadiri konsert sedemikian kerana ia tidak Islamik, bukannya menyekat pilihan rakyat.
“Dengan adanya kesedaran itu, tidak mungkin ada permintaan untuk konsert itu dan artis berkenaan mungkin tidak akan datang ke sini juga.”
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sudah tiba masanya untuk membuat keputusan mengenai kerjasama dengan PAS dalam kerajaan Selangor.
Katanya, beliau kurang bimbang mengenai alasannya berbanding penangguhan terhadap keputusan itu yang mungkin menjadi punca sesetengah pengundi tidak mengundi Pakatan Harapan.
“Sebab itu lebih cepat kita buat keputusan, lebih baik,” katanya sambil mentertawakan alasan PAS untuk memutuskan hubungan dengan PKR.
Setiausaha Eksekutif Pemuda DAP, Muhammad Shakir Ameer berkata, konsert itu sekadar alasan untuk mewajarkan hubungan baru PAS dengan Umno.
“Ia hanya alasan kerana Pemuda PAS tidak ada apa yang membina untuk dikatakan terhadap sebarang perkara dan ia mencari semua alasan untuk cuba dan bersuara ‘sewajarnya’ dengan penyokong mereka.
“Itu adalah tradisi mereka. Membantah perkara yang mereka fikir ‘tidak Islamik’,” katanya
Shakir berkata, ada isu lebih mendesak di Malaysia yang memerlukan perhatian dan pembangkang mendesak dasar positif untuk negara.
“Dan ini penting untuk semua parti, tanpa mengira anda sebahagian daripada Pakatan Harapan atau tidak.”
Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama yang akan membuat keputusan muktamad berhubung usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR itu.
Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Muktamar PAS sebulat suara terima usul putus hubungan dengan PKR