
Katanya, soal pentadbiran negeri dan masalah parti perlu diasingkan kerana mereka perlu menghormati mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Itu terpulang kepada pihak PAS, tapi saya rasa pentadbiran mesti dibezakan dengan politik. Pentadbiran mesti telus, bertanggungjawab sebab PAS juga masuk pilihan raya dan berjanji untuk mewakili rakyat Selangor.
“Jadi, dia mesti bertanggungjawab kepada rakyat Selangor, serupa juga parti-parti lain. Saya juga menang, saya juga bertanggungjawab kepada rakyat Selangor,” katanya selepas menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan, sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.
Saifuddin dalam kenyataannya berkata, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.
Ia susulan keputusan Muktamar Dewan Ulama dan Pemuda PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR tanpa bahas, pada Khamis serta Jumaat lalu.
Bagaimanapun, usul itu masih perlu diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.
Tiga Exco Selangor dari PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Dalam perkembangan berlainan, Khalid menafikan beliau bakal menyertai PAS dan bertanding atas tiket parti Islam itu pada PRU14.
“Saya sudah beri beberapa kenyataan yang saya tidak lagi ingin menyertai parti politik selepas pilihan raya. Saya menunggu dengan penuh gembira bila pilihan raya diisytiharkan,” katanya.