Anak Hadi: Berdakwahlah, walaupun pokok getah jadi saksi

Anak Hadi: Berdakwahlah, walaupun pokok getah jadi saksi

Usaha dakwah tidak pernah mudah, tetapi Pemuda PAS mesti terus meyakini perjuangan parti.

Muhammad-Khalil_media
ALOR SETAR:
Ketua pemuda baharu, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru angkatannya supaya menggiatkan dakwah di dalam dan luar negara, sama ada melalui internet atau turun ceramah ke lapangan, walaupun tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

Khalil dalam ucapan penangguhan muktamar Dewan Pemuda PAS hari ini mengingatkan usaha meyakinkan rakyat tidak pernah mudah, tetapi pemuda PAS mesti terus meyakini perjuangan parti kerana “Allah masih sayangkan kita lalu menguji kita”.

“…Takpalah…biar pokok-pokok getah menjadi saksi bahawa kita telah datang untuk menyampaikan dakwah dan memberi peringatan!” katanya, memetik bekas Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Seri Dr Burhanuddin Ungku Muhammad Nor (al-Helmy) yang merangkumkan erti kegigihan PAS.

“Marilah kita jadikan jawapan mujahid dakwah PAS itu terus berkumandang sebagai semboyan yang terus menjana dan membakar semangat kita.

“Untuk membantu para ulama dan pimpinan mendaulatkan Islam sebagai agama negara sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan!”

Muhammad Khalil Abdul Hadi, anak sulung presiden PAS, menang tanpa bertanding sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2017-2019.

Khalil, yang sebelum ini ialah timbalan ketua pemuda, menggantikan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, yang melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada muka baharu pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Nik Abduh dalam ucapannya risau dengan melihat budaya bertanding jawatan di peringkat pemuda semakin berkurangan.

Beliau risau sekiranya demokrasi hilang dari budaya pemuda PAS, menurut Malaysiakini.

Pemilihan sayap pemuda menyaksikan semua jawatan tertinggi, termasuk jawatan Khalil, timbalan ketua ketua pemuda dan naib ketua pemuda dimenangi tanpa bertanding, selepas calon menarik diri daripada pencalonan.

“Hanya 14 orang pertandingan dalam jawatan ahli jawatankuasa. Seingat saya ini yang paling sedikit?” katanya.

Beliau bagaimanapun akui menarik diri bukan tindakan salah, tetapi ketiadaan pertandingan dalam pemilihan membuatkan beliau berasa agak terkilan.

“Ketika kita gembira suasananya agak tenang, tetapi saya bimbang kalau masing-masing tarik diri maka hilanglah demokrasi dalam Dewan Pemuda PAS.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.