Kematian pelajar tahfiz: Mengapa jadi kes bunuh, soal peguam

Kematian pelajar tahfiz: Mengapa jadi kes bunuh, soal peguam

Peguam RSN Rayer berkata lebih wajar pendakwaan dilakukan di bawah Akta Kanak-Kanak atas dakwaan dera atau menyebabkan kecederaan dengan senjata merbahaya.

rns-rayer-thaqif
PETALING JAYA: Seorang peguam mengajukan soalan mengapa polis menyiasat pembantu warden yang didakwa menyebabkan mendera sekolah pelajar sekolah tahfiz di bawah seksyen bunuh.

RSN Rayer berkata kes Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, tidak termasuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini tidak menghampiri kes pembunuhan atau pembunuhan tanpa niat membunuh,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata lebih wajar kes disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) atas dakwaan dera atau menyebabkan kecederaan dengan senjata merbahaya.

Selepas kematian Thaqif semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan bunuh.

Polis Johor berkata kes itu pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 31 Akta 611 atas dakwaan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Malaysia memperuntukkan hukuman mati mandatori untuk kesalahan membunuh. Mereka yang didapati bersalah membunuh tanpa niat berdepan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau denda.

Thaqif meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru semalam.

Pada Jumaat, doktor HSI memotong kakinya tetapi keesokan hari beliau koma.

Rayer juga mempersoalkan peluang mendapatkan sabitan terhadap tertuduh.

“Pendakwaan perlu memenuhi keperluan perundangan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang,” katanya.

Seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin, tidak bersetuju dengan sentimen Rayer mengenai langkah polis klasifikan semula kes itu sebagai kes bunuh.

“Polis mungkin mempunyai asas dalam siasatan mereka untuk menyimpulkan punca kematian itu kerana dakwaan penderaan berterusan oleh suspek.”

Fahmi berkata jika kes dibawa ke mahkamah atas dakwaan bunuh, pendakwaraya perlu membuktikan niat suspek melakukan jenayah terhadap Thaqif.

“Pendakwaraya perlu menunjukkan ada niat untuk membunuh.”

Beliau menambah kalau pendakwaraya gagal membuktikan asas pembunuhan itu, maka tertuduh akan dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.