
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat yang dipetik Bernama berkata, polis Malaysia belum memperoleh laporan rasmi daripada polis Thailand berhubung dakwaan Chong diculik ketika berada di negara jiran itu.
“Bagaimanapun, kami masih tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan…polis akan memanggil dia semula sekiranya perlu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.
Keterangan Chong diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 19 April lepas.
“Siasatan awal mendapati benar dia berada di Thailand, namun dakwaannya yang mengatakan dia diculik masih disiasat.”
Pada 18 April lalu, Ketua Polis Pattaya, Kol Apichai Krobpet dilaporkan berkata, mereka tidak tahu-menahu mengenai dakwaan Chong diculik sekumpulan lelaki di Hatyai dan dibawa ke Pattaya kerana tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis itu.
Beliau turut mengulangi amaran Ketua Polis Hatyai, Kol Kittichai Sankatavorn yang Chong boleh didakwa jika dakwaannya diculik di Hatyai dan Pattaya terbukti tidak berasas dan rekaan semata-mata.
Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kehilangan Pastor Koh sebagai kes dilarikan berikutan tidak melibatkan tuntutan wang tebusan.
Empat individu lain yang turut dilaporkan hilang ialah Chong, aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy bersama isterinya, Ruth.
Bagaimanapun, Chong yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, yang didakwa hilang sejak 6 April lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), pada 16 April lepas dari Pattaya, Thailand.
Polis: Peter Chong dakwa diculik semasa jejak Pastor Raymond