Rakyat bersatu dalam sedih dan marah untuk Thaqif

Rakyat bersatu dalam sedih dan marah untuk Thaqif

Dari Istana Johor ke Putrajaya hingga ke warga internet bersedih untuk Thaqif, yang meninggal dunia 2.06 petang tadi.

thaqif
PETALING JAYA: Kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang koma selepas kakinya dipotong kerana gangren, selepas didakwa dipukul pembantu warden sekolahnya mengundang simpati pelbagai lapisan masyarakat.

Menyedari ketidakpuasan hati masyarakat tentang nasib yang menimpa Thafiq, Tunku Temenggung Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim meminta orang ramai supaya bertenang dan memberi sokongan kepada keluarga Thaqif.

“Daripada bermain permainan menyalahkan antara satu sama lain dan membuat komen-komen yang keras, marilah kita memberikan kecintaan dan sokongan kepada keluarganya di saat sedih ini.

“Kemarahan dan kebencian sentiasa ada dan tidak akan membetulkan apa-apa,” katanya menerusi Instagramnya, yang memuatnaik imej “Doa untuk Thaqif”.

Thaqif yang terlantar di unit dependensi tinggi Hospital Sultan Ismail sejak Rabu lepas meninggal dunia 2.06 petang tadi. Kakinya gangren selepas didakwa dipukul pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, dengan paip getah.

Doktor terpaksa memotong kedua kaki Thaqif bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak, namun kanak-kanak ini yang mahu menjadi seorang hufaz koma selepas itu. Dia dijadualkan menjalani pembedahan memotong tangan kanannya hari ini.

“Menerima berita sedih pemergian adik Mohamad Thaqif Amin ke rahmatullah,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Twitter.

“Takziah pada keluarga, semoga ditempatkan bersama para syuhada.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan anak kecil seperti Thaqif merupakan amanah untuk para ibu bapa dan guru.

“Sayu saya mendengarnya…anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga…sama ada kita sebagai ibu bapa, guru atau sebagainya,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook Sumi Parameswaran berdukacita Thaqif tidak sempat melalui kehidupan sepenuhnya.

“Terlalu muda untuk meninggal dunia.. Tak tahu macam mana nak menyatakan kepada keluarganya..satu tragedi..RIP,” katanya.

Vicky Stylo pula menyeru semua pihak supaya mengambil pengajaran daripada kejadian ini agar ia tidak berulang di masa depan.

“Cuba panggil ibu bapa dan adakan kaunseling. Para ibu bapa, kalau ada aduan daripada anak yang menyatakan dia dipukul di sekolah, jangan leka tapi segera ke sekolah dan kalau tak jadi juga, tukar anak ke sekolah lain.

“Menteri pendidikan, apa hal ini. Apakah ini noktah terakhir atau mungkin akan ada kes lagi?,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook Lim Peh berkata semua rakyat bersatu dalam kesedihan terhadap nasib malang yang menimpa Thaqif.

“Budak yang belum mengerti apa-apa dipukul dengan begitu zalim,” katanya.

Sakuranbo Peqa pula mempersoalkan amalan merotan murid di sekolah.

“Ye memang dulu mak kita ayah kita libas kita dengan getah paip la apa tapi masalahnya cara mak ayah dengan orang luar pukul berbeza.

“Sebab mak ayah masih ada rasa sayang dekat kita, takdalah dia tibai budak tu sesuka hati dia. Ni warden tu siapa? Mak ayah dia ke? Tak kan. Orang luar. Kalau dia pukul kuat macam nak mati pun, apa dia kisah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.