Pusat tahfiz anjur majlis bacaan Yasin, tahlil untuk Thaqif

Pusat tahfiz anjur majlis bacaan Yasin, tahlil untuk Thaqif

Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

sekolah-thaqif
PETALING JAYA: Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kota Tinggi, Johor, yang dikaitkan dengan kes mendera Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, menganjurkan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk pelajar itu yang meninggal dunia petang tadi.

Pengetua MTAJ, Mohammad Afdhaluddin Ismail turut mengucapkan takziah kepada keluarga Thaqif.

“Dengan perasaan yang sangat sayu dan hiba, mewakili penasihat, pemegang amanah, ahli lembaga jemaah pengurusan, ahli muafakat ibu bapa MTAJ, kakitangan dan guru serta pelajar MTAJ, saya mengucapkan takziah di atas musibah ini.

“Tentunya doa kami mengiringi pemergian Mohamad Thaqif. Insya-Allah, semua anak MTAJ akan bersama hadir untuk solat jenazah di Aping Timur setelah disahkan ayah Thaqif nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad mengesahkan Thaqif yang terlantar di hospital dan kehilangan 2 kakinya, meninggal dunia pada jam 2.06 petang tadi.

Pelajar berumur 11 tahun itu dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail sejak Rabu lalu, selepas dakwaan dirotan pembantu warden asrama MTAJ dengan paip getah.

Pembedahan untuk memotong tangan kanan Thaqfi yang dijadualkan pagi tadi, terpaksa ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil.

Mengulas lanjut, Afdhaluddin berkata, pihaknya turut mengharapkan kekuatan dari Allah untuk menghadapi insiden itu.

“Dan mendoakan kekuatan yang lebih untuk ayah, ibu dan seluruh ahli keluarga Thaqif untuk menerima pemergian ini,” katanya.

Thaqif, pelajar tahfiz yang hilang kaki, meninggal dunia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.