
“Saya minta Rajinikanth membuat penggambaran filem di Malaysia selepas Kabali menjadi filem terlaris. Beliau sedang mempertimbangkannya,” kata Najib yang meluangkan masa untuk melawat pelakon itu ketika mengunjungi India baru-baru ini.
Keseronokan Najib tidak mengejutkan kerana Rajinikanth dipuja berjuta-juta orang India di Malaysia dan seluruh dunia.
Mana-mana ahli politik yang memerlukan sokongan pengundi India tidak akan melepaskan peluang untuk mengeksploitasinya.
Menjelang pilihan raya umum pada 2008, setahun selepas filem gengster Sivaji lakonan Rajinikanth yang turut menjadi filem terlaris, ketua pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggunakan sedutan filem itu dalam ceramah politiknya.
Partinya, PKR turut membuat patung besar Sivaji, watak seperti Robin Hood yang dilakonkan Rajinikanth.
Ia dibuat tepat pada masanya ekoran kekecewaan masyarakat India selama berpuluh tahun terhadap apa yang dilihat sebagai dasar diskriminasi berakhir dengan protes besar-besaran di Kuala Lumpur, beberapa bulan sebelum itu.
Kabali
Sepuluh tahun kemudian, Malaysia menjadi lokasi untuk Rajinikanth membuat penggambaran filemnya, Kabali yang mengandungi aksi dan keganasan yang menjadi asas bagi hampir setiap filemnya.
Tetapi, timbul kebimbangan beberapa babak tertentu dalam fantasi dunia penjenayahan itu mungkin merebak ke dunia sebenar masyarakat India di Malaysia yang penuh dengan kemiskinan dan jenayah, di mana banyak program diperkenalkan kerajaan, hanya untuk pengkritik menunjukkan mereka terbukti betul.
Keraguan ini timbul bersama rancangan pembangunan 10 tahun peruntukan lebih RM1 bilion – Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang menjanjikan penyelesaian terhadap isu lama, iaitu kemiskinan dan pengangguran.
Hanya 2 hari selepas pelan tindakan itu dilancarkan Najib, sekumpulan pelajar mencetuskan kekecohan di depan pintu sebuah sekolah menengah di Klang, Selangor, minggu lalu.
Peguam, RSN Rayer berkata, pelajar itu hanya meniru budaya gengster yang digambarkan dalam filem seperti Kabali.
Beliau menyalahkan filem Tamil itu mempromosikan watak “hip” penjenayah seperti “Kabali” sebagai faktor menyumbang kepada peningkatan gengsterisme di sekolah.
“Apa yang berlaku minggu lepas sebenarnya manifestasi budaya ‘Kabali’ yang merebak secara senyap dan cepat pada kadar membimbangkan, terutama di kalangan pelajar berketurunan India di sekolah menengah,” kata adun DAP itu kepada FMT baru-baru ini.
Rayer berkata, ia kini menjadi trend pelajar mengeluarkan wang untuk menjadi anggota geng.
“Pelajar membayar wang perlindungan bulanan kepada geng berkenaan dan melakukan ritual permulaan seperti melukis tatu simbol geng di badan,” katanya.
Beliau merujuk rakaman video yang tersebar baru-baru ini di mana berlaku kekecohan di luar sekolah di Klang, menunjukkan pelajar meraikan sebuah geng dikenali sebagai Geng 24.
Ia mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa, di mana anak mereka boleh disasarkan dan diupah kumpulan jenayah.
Seorang pegawai kanan polis dilaporkan berkata, apa yang berlaku di Klang adalah amalan biasa di kalangan ahli Geng 24.
Tidak perlu filem susulan Kabali
Rayer, seorang peguam jenayah yakin Kabali menggalakkan semua unsur negatif dalam masyarakat, “bermula dengan keganasan, pembunuhan, kegiatan samseng, perpecahan, dadah dan sebagainya”.
Tetapi, beliau tidak bersetuju dengan penyelesaian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk membuang pelajar terbabit.
“Membuang mereka dari sekolah hanya menyumbang kepada satu lagi kitaran kejam pengangguran dan peningkatan jenayah kerana mereka akan merompak dan menjual dadah sebagai satu-satunya sumber pendapatan mereka.
“Sejarah dan statistik menunjukkan ini adalah benar,” katanya.
Penyelesaian Rayer adalah menamatkan situasi itu, termasuk memikirkan semula dasar membenarkan filem seperti Kabali membuat penggambaran di Malaysia, termasuk Kabali II, andaian ia menjadi tajuk filem itu.
Rayer bagaimanapun tidak teruja dengan tindakan Najib mempelawa Rajinikanth ke Malaysia, bulan lalu.
“Filem ini mendatangkan lebih banyak bahaya berbanding kebaikan,” kata pemimpin DAP itu.
“Kerajaan sepatutnya menggalakkan industri filem India tempatan dengan menyokong pengarah dan artis India tempatan menghasilkan filem India sendiri.
“Ini akan menggalakkan ciri dan nilai positif rakyat Malaysia, seperti perpaduan, berbudi bahasa, kepelbagaian budaya dan menghormati orang tua.”