Pulau Pinang mohon Guar Kepah diiktiraf tapak warisan dunia

Pulau Pinang mohon Guar Kepah diiktiraf tapak warisan dunia

Lim Guan Eng berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan selepas kerja arkeologi Universiti Sains Malaysia selesai.

Guar Kepah
BUTTERWORTH:
Pulau Pinang bercadang mengemukakan permohonan untuk mengiktiraf tapak arkeologi Guar Kepah sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Ia susulan penemuan rangka manusia dipercayai milik seorang wanita yang berusia kira-kira 5,000 tahun lalu, Isnin lepas.

Terletak 8km dari Kepala Batas, tapak itu ialah tanah perkuburan zaman prasejarah Neolitik, di mana mayat ditanam di dalam timbunan sisa cengkerang setinggi 5m yang disangkakan timbunan sampah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri bercadang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pusat Warisan Dunia Unesco di Paris bagi mempertimbangkan Guar Kepah diiktiraf tapak warisan dunia.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz apabila kerja arkeologi yang dijalankan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR) Universiti Sains Malaysia (USM) selesai.

Penggalian di kawasan itu bermula 1851 hingga 1934 oleh ahli arkeologi British di bawah pentadbiran penjajah.

Guar Kepah (1)

Sebanyak 37 tulang yang ditemui George Windsor Earl ketika itu disimpan di Muzium Natuurhistorisch Nationaal (National Museum of Natural History) di Leiden, Belanda.

Lim berkata, pihaknya akan memohon 37 tulang itu dihantar dari Leiden ke Malaysia tidak lama lagi.

“Penemuan lebih banyak tulang baru-baru ini menunjukkan kawasan itu ialah tapak harta karun bersejarah dan lokasi penyelidik dunia untuk mengkaji zaman prasejarah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy yang menyelia pembinaan galeri untuk mempamerkan penemuan di tapak itu berkata, pihaknya akan menyalurkan RM10,000 kepada projek ini.

Ini adalah tambahan kepada geran RM20,000 yang dijanjikan Lim minggu lepas untuk keperluan kewangan seperti peralatan penggalian, bayaran pekerja dan analisis saintifik.

Pada 17 April lalu, pasukan CGAR yang diketuai Prof Mokhtar Saidin menemui tulang ketika melakukan penggalian untuk membina galeri itu.

Guar Kepah (2)

Mereka menemui tengkorak, tulang paha dan rusuk. Susulan itu, kerajaan negeri mengarahkan pembinaan itu ditangguhkan.

Mokhtar dilaporkan berkata, berdasarkan penemuan itu, manusia di zaman Neolitik kebanyakannya mendirikan rumah berhampiran laut dan bekerja sebagai nelayan.

Tempoh tapak Neolitik di Guar Kepah dikatakan lebih lama daripada tapak tamadun purba Lembah Bujang dan Sungai Batu di Kedah, iaitu tapak prasejarah di Semenanjung yang menjadi bukti manusia tinggal berhampiran kawasan pantai.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM800,000 untuk membina galeri adaptasi kehidupan laut di kawasan itu pada 5,000 tahun lalu.

Ahli arkeologi temui tulang 5,000 tahun di P Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.