
Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata ia bertujuan menyelamatkan generasi muda daripada terbabit dengan dadah.
Menurutnya, ujian air kencing di sekolah menengah pada masa ini dibuat secara rambang kerana terdapat ibu bapa pelajar yang tidak setuju agar dibuat kepada semua pelajar.
“Ujian air kencing ini dibuat secara rambang sahaja dan ambil budak-budak yang disyaki. Dia tak ambil semua,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan memberi amaran kepada pengetua sekolah yang cuba menyembunyikan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar mereka.
Beliau mendedahkan sebanyak 554 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam tempoh singkat 1 Januari sehingga 15 Mac tahun ini.
Kamarozaman berkata, kebiasaannya pelajar yang akan diambil ujian air kencing adalah mereka yang ponteng sekolah dan merokok.
Tambahnya, ibu bapa perlu membantu pihak sekolah untuk memberikan kebenaran kepada pihak berwajib agar anaknya diberi kelulusan untuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada menagih dadah atau tidak.
Mengulas amaran yang dibuat Mahdzir kepada pengetua, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali berkata pengetua yang menyembunyikan fakta dan mengelak daripada mendedahkan penyalahgunaan dadah di sekolah melibatkan pelajar atau guru perlu diambil tindakan yang serius.
“Kita mengharapkan satu gerakan pembersihan dilakukan secara besar-besaran. Kedua, pemeriksaan mengejut tentang saringan dan ujian air kencing perlu dilakukan dari semasa ke semasa tanpa dimaklumkan kepada pihak sekolah.
“Dan kita mesti mensasarkan sekolah sifar dadah, jadi bagi mereka yang menyembunyikan, tidak melaporkan kes-kes dadah, satu tindakan serius perlu diambil tindakan,” katanya.
554 pelajar menengah, majoriti Melayu, positif dadah tahun ini