Piala FA: Kedah jumpa Terengganu di separuh akhir

Piala FA: Kedah jumpa Terengganu di separuh akhir

Juara 2 kali Piala FA, Negeri Sembilan menanti pencabar sama ada JDT atau Pahang yang akan diketahui esok.

kedah_tergganu_fa_6001
KUALA LUMPUR:
Juara 3 kali Piala FA, Kedah mengetuai kemaraan t3 pasukan ke peringkat separuh akhir setelah berakhir aksi suku akhir kedua saingan itu, malam tadi.

Walaupun kalah 0-1 kepada Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada aksi timbal balik di Stadium Perak, Ipoh malam ini, skuad Lang Merah layak ke separuh akhir menerusi agregat 6-2.

Pada aksi di Ipoh itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-10.

Untuk rekod, Kedah menang bergaya 6-1 ke atas PKNP FC pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 April lepas.

Juara 2 kali Piala FA, Negeri Sembilan pula terikat tanpa jaringan menentang Sabah pada aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, namun layak ke separuh akhir menerusi agregat 1-0.

Negeri Sembilan menang tipis 1-0 ke atas Sabah pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, 1 April lepas.

Dalam pada itu, juara 2 kali Piala FA, Terengganu terpaksa beraksi sehingga ke penentuan sepakan penalti sebelum mengatasi Sarawak 4-1 pada aksi di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah tiket ke separuh akhir.

Kedua-dua pasukan sebelum itu, terikat 1-1 dengan Issey Nakajima-Farran meletakkan Terengganu di hadapan menerusi jaringan seawal minit kesembilan sebelum Demerson Bruno Costa menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-80.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 April lepas.

Juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melayan kunjungan Pahang pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin esok.

Untuk rekod, Pahang menewaskan JDT 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 1 April lepas.

Kedah akan menentang Terengganu manakala Negeri Sembilan akan menanti pemenang perlawanan antara Pahang dan JDT pada aksi separuh akhir, yang menggunakan format timbal balik pada 28 dan 29 April untuk aksi separuh akhir pertama dan 12 dan 13 Mei ini untuk aksi timbal balik.

Final Piala FA dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.